Sekurang-kurangnya lima maut manakala 120 lagi cedera selepas satu gempa bumi berkekuatan 5.9 magnitud melanda Barat Laut Iran pada Jumaat.

Menurut Pusat Seismologi Iran dalam satu kenyataan, gempa berkenaan melanda pada jam 2.17 pagi (waktu tempatan) di Azerbaijan Timur, lapor agensi berita.

Setelah gempa pertama berlaku, empat gegaran susulan dilaporkan berlaku.

Ketua Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Iran, Pirhossein Koulivand memberi gambaran jumlah yang terkesan kepada televisyen tempatan, namun tiada video dan imej disiarkan di kawasan terkesan.

Anggota penyelamat telah dikerahkan ke lokasi kejadian.


Jelas Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa dikesan pada kedalaman 10 kilometer.

Iran berada di kawasan berkecenderungan mengalami bencana alam berbentuk aktiviti seismik dengan anggaran satu gempa setiap hari.

Terdahulu pada 2003, gempa berkekuatan 6.6 magnitud melanda bandar Bam mengorbankan 26,600 orang.

Pada 2017 pula, gempa berkekuatan 7.0 magnitud menggegarkan Barat Iran yang mengorbankan lebih 600 nyama manakala lebih 9,000 cedera. - Agensi