Kesemua lima penumpang maut dalam nahas helikopter terhempas di East River, bandar New York.

Sebuah helikopter yang membawa enam individu telah terhempas di East River, bandar New York pada Ahad lalu.

Menurut polis, kesemua penumpang telah maut manakala juruterbang helikopter itu telah berjaya menyelamatkan diri.

Jurucakap Pasukan Polis Bandar New York (NYPD) mengesahkan pada Isnin lalu bahawa dua daripada lima penumpang pesawat itu mati di tempat kejadian manakala tiga lagi telah dibawa ke hospital berdekatan dan dilaporkan mati ketika menerima rawatan.

Kata polis lagi, juruterbang helikopter itu berjaya menyelamatkan diri daripada nahas itu. Dia telah diselamatkan dan dirawat di sebuah hospital sebelum dibenarkan pulang dalam keadaan baik.

Menurut Suruhanjaya Penerbangan Persekutuan (FAA), helikopter Eurocopter AS350 itu terhempas di sekitar bahagian utara Pulau Roosevelt kira-kira jam 7 malam Ahad waktu tempatan.

Menurut agensi kerajaan Amerika Syarikat, iaitu Badan Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) pula, pasukan penyiasat akan tiba pada hari Isnin.

“Ia merupakan satu tragedi,” kata Pesuruhjaya Jabatan Bomba New York, Daniel Nigra pada sidang media Ahad lalu.

Katanya, para penyelam mengambil masa yang lama untuk menyelamatkan mangsa-mangsa tragedi itu.

Ujar Nigro, ketika misi menyelamat dijalankan, helikopter itu berada dalam keadaan terbalik pada kedalaman kira-kira 15 meter dan suhu air sungai ketika itu adalah serendah empat darjah Celsius.

Pesuruhjaya Pasukan Polis Bandar New York, James O’Neill berkata, helikopter tersebut berdaftar di bawah Liberty Helicopters, sebuah syarikat perkhidmatan penerbangan untuk persiaran dan sewaan khas di New York.

Ketika kemalangan, helikopter itu sedang dalam sewaan khas untuk tujuan penggambaran.

Pasukan Pengawal Pantai US (USCG) telah menghantar tiga bot penyelamat untuk membantu Pasukan Penyelamat Bandar New York

“Helikopter itu seakan-akan terhempas di tebing dan terus terbalik,” kata Brianna Jesme,22, seorang penduduk kawasan perumahan Upper East Side yang menjadi saksi kemalangan tersebut kepada saluran televisyen Reuters.