Tutup

Berita  | Dunia

Lukisan gua Sulawesi dipercayai karya seni tertua dunia

Lukisan gua Sulawesi dipercayai karya seni tertua dunia
Satu lukisan yang ditemukan dua tahun lalu di dalam gua di Sulawesi, Indonesia dipercayai berusia hampir 44,000 tahun. -Reuters
SATU lukisan yang ditemukan dua tahun lalu di dalam gua di Sulawesi, Indonesia dipercayai berusia hampir 44,000 tahun.

Lukisan yang mengambarkan sosok manusia prasejarah menggunakan senjata tombak dan tali ketika berburu haiwan liar itu kini dianggap karya seni tertua di dunia.

Menurut kajian terbaharu yang diterbitkan pada Khamis, pasukan dari Universiti Griffith Australia mengesahkan lukisan gua batu kapur itu bertarikh sekurang-kurangnya 43,900 tahun semasa zaman paleolitik.

Sejak tahun 1950-an, beratus-ratus lukisan gua telah ditemukan di kawasan Indonesia di Sulawesi dan Borneo.
Sehingga kini, diketahui terdapat sekurang-kurangnya 242 gua atau tempat perlindungan dengan imej purba di Sulawesi.

Penemuan ini sekali gus mencabar teori lukisan gua tertua berasal dari Eropah apabila kebanyakan lakaran purba di benua itu hanya muncul sekitar 15,000 tahun lalu.
Sebagai contoh, lukisan gua terkenal di Lascaux, Perancis hanya berusia 17,000 tahun.