TIADA apa yang paling menggembirakan bagi seorang aktor apabila filem lakonan mereka dihargai oleh penonton.

Itulah yang dirasakan oleh aktor ternama Korea, Ma Dong Seok yang mengakui, hatinya sangat berbunga kerana filem terbaharu yang dibintanginya, 'The Gangster, The Cop, The Devil' mendapat tepukan gemuruh berpanjangan selama lima minit ketika ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Cannes 2019 baru-baru ini.

Ekoran itu, ramai pemerhati filem yang mengagumi babak aksi lakonan Ma serta dua pelakon lain, Kim Moo Yeol, dan Kim Sung Kyu.

“Saya tertanya-tanya adakah itu perkara biasa untuk menerima pujian sebegitu sekali,” kata Ma penuh kehairanan.

Di sebalik kejayaan 'The Gangster, The Cop, The Devil', Ma rupa-rupanya menyimpan rahsia yang tidak diketahui peminat-peminatnya selama ini.

Menurut Ma, ketika menjalani penggambaran 'The Gangster, The Cop, The Devil' dia sebetulnya didatangi dengan tawaran membintangi sebuah naskhah Hollywood.

Namun, malang buat Ma kerana terpaksa menolak tawaran keemasan itu dengan hati yang berat.

Tawaran yang diterima Ma ialah membintangi filem 'John Wick 3'.

"Pengarah 'John Wick 3' (Chad Stahelski) ada memberitahu dia meminati aksi lakonan saya. Dia juga menonton karya saya sebelum ini dan berhubung dengan saya, tetapi malangnya saya tidak dapat menyertai pasukan beliau,” kata Mo dalam nada kecewa.




Sementara itu, diminta mengulas mengenai perkahwinannya dengan personaliti televisyen Korea, Ye Jung Hwa, Ma berkata, mereka akan berkahwin pada tahun depan.

Bagaimanapun, dalam masa sama agensi pengurusan Ma berkata: "Perkahwinan mereka belum disahkan, dan ia akan diumumkan melalui saluran rasmi apabila disahkan.”

Filem 'The Gangster, The Cop, The Devil' telah ditayangkan pada 15 Mei lalu dan telah menarik dua juta penonton.

Sebelum ditayangkan di pawagam tempatan, 'The Gangster, The Cop, The Devil' awal-awal lagi sudah mendapat perhatian daripada legenda perfileman Hollywood, Sylvester Stallone.

Stallone pada awal bulan ini mengumumkan keinginannya untuk menerbitkan naskhah berkenaan bagi versi Hollywood pula.