MAHKAMAH Perlembagaan Thailand mengharamkan parti pembangkang Thai Raksa Chart selepas mencalonkan kakak kepada raja sebagai calon Perdana Menteri bagi pilihan raya bulan depan.

Pengharaman Thai Raksa Chart hampir memusnahkan peluang parti pembangkang untuk menang pilihanraya dalam usaha menewaskan parti sekutu junta yang memimpin Thailand sejak 2014.

Parti itu merupakan sebahagian daripada parti yang masih setia kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra yang digulingkan sekali gus membawa kepada kepimpinan junta tentera diketuai Prayut Chan-o-cha.

Suruhanjaya Pilihan Raya memohon pengharaman parti itu kerana mencalonkan Puteri Ubolratana bagi jawatan nombor satu negara itu di mana ia bertentangan dengan perlembagaan Thailand.

Puteri Ubolratana melepaskan jawatan dirajanya pada 1972 selepas berkahwin dengan warga Amerika Syarikat, namun beliau masih dilayan seperti keluarga diraja.

Raja Maha Vajiralongkorn menolak keras pencalonan Ubolratana dan menyifatkan ia tidak sesuai dan bertentangan dengan perlembagaan.