Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis gagal menerima pakai dua deraf resolusi yang dikemukakan Rusia dan Amerika Syarikat (AS) berhubung krisis di Venezuela,lapor agensi berita Xinhua.

Sembilan undi memihak kepada deraf AS, tiga membantah manakala tiga lagi berkecuali pada mesyuarat yang dihadiri 15 negara anggota.

Sementara Rusia dan China, serta Afrika Selatan menggunakan kuasa veto. Deraf resolusi Rusia pula empat menyokong,tujuh menentang dan empat berkecuali.

AS mencadangkan perlunya usaha mencegah kemerosotan keadaan kemanusiaan di Venezuela dan memudahkan akses serta penyaluran bantuan kepada yang memerlukan sesuai dengan prinsip kemanusiaan.

Sebaliknya, Rusia mengesyorkan penyaluran bantuan kemanusiaan antarabangsa perlu mendapat kebenaran pemerintah Venezuela.

Rusia juga menggesa penyelesaian kemelut politik di Venezuela ditangani secara aman.

Mesyuarat Majlis Keselamatan pada Khamis itu adalah kali yang ketiga dalam tempoh lebih sebulan disebabkan peningkatan ketegangan politik di negara Amerika Latin itu.

Perwakilan tetap Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia berkata mesyuarat itu mungkin dieksploitasi sebagai langkah untuk persiapan campur tangan dan bukan faktor kemanusiaan.

Tambahnya, ia menyebabkan mesyuarat itu gagal mencapai kata sepakat.

"Di Majlis Keselamatan faktor utama adalah untuk menegakkan Piagam PBB dan prinsip asas yang mengawal hubungan antarabangsa, menggalakkan penyelesaian damai di Venezuela bagi menjamin keamanan, kestabilan dan pembangunan jangka panjang di Amerika Latin terus kekal," kata timbalan wakil tetap China ke PBB, Wu Haitao.

China membantah pihak luar mencampuri hal ehwal dalaman Venezuela dan menentang sebarang campur tangan ketenteraan.

Venezuela jatuh ke kancah krisis politik sejak 23 Januari selepas Presiden Dewan Negara, Juan Guaido mengumumkan dirinya sebagai presiden sementara dan diiktiraf AS serta beberapa negara lain.

Pada 23 Februari lalu Guaido mahu membawa masuk "bantuan kemanusiaan" ke Venezuela menerusi pintu sempadan namun ditentang kerajaan pimpinan Presiden Nicolas Maduro.

Maduro menuduh AS mahu menceroboh negaranya, berikutan itu Venezuela menutup sempadan dengan Brazil dan Colombia selain ruang udara dan di laluan laut.

-- BERNAMA