Berita  | Dunia

Majlis Peguam Palestin berhasrat saman peserta persidangan tajaan AS di Bahrain

Majlis Peguam Palestin berhasrat saman peserta persidangan tajaan AS di Bahrain
Jared Kushner ketika ditemui media di Bangunan Pejabat Eksekutif Eisenhower di Washington, AS, 20 Jun, 2019. REUTERS/Fail
RAMALLAH: Majlis Peguam Palestin (PBA) bercadang mengemukakan saman terhadap peserta satu persidangan yang ditaja Amerika Syarikat (AS) di Bahrain, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Persidangan dua hari yang akan berlangsung di ibu negara Bahrain, Manama, pada Selasa yang dijangka menyaksikan para pegawai AS membentangkan bahagian ekonomi dalam pelan damai Timur Tengah mereka yang disifatkan sebagai "deal of the century."

Bercakap kepada Anadolu, ketua PBA Jawad Obaidat berkata para peguam akan ditugaskan untuk memfailkan saman terhadap semua peserta persidangan itu, dengan alasan bahawa acara tersebut "membahayakan keselamatan negara."
Obeidat berkata PBA telah meminta peguam negara Palestin untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana rakyat negara itu yang mungkin menghadiri persidangan tersebut.

Persidangan di Bahrain dilaporkan akan diketuai Jared Kushner, yang merupakam penasihat kanan Rumah Putih dan menantu Presiden Donald Trump serta utusan khas beliau ke Timur Tengah iaitu Jason Greenblatt.

Tujuh negara Arab - Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Qatar, Mesir, Maghribi, Jordan dan negara tuan rumah Bahrain - telah menyatakan bahawa mereka akan mengambil bahagian dalam persidangan itu.

"Deal of the century" itu belum didedahkan sepenuhnya namun berdasarkan maklumat yang bocor kepada media, ia berhasrat melakukan konsesi besar untuk Israel berhubung status bandar Baitulmaqdis dan mengenai hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah air mereka.

-- BERNAMA