Malaysia perlu mengingati hubungan persahabatan yang dikongsi bersama India dan tidak membuat sebarang kenyataan mengenai Kashmir.

Perkara itu disuarakan jurucakap Kementerian Luar India, Raveesh Kumar sebagai tindak balas terhadap kenyataan Malaysia yang membangkitkan isu Kashmir ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-74 di New York, baru-baru ini.

Bercakap pada satu taklimat di New Delhi pada Jumaat, Raveesh berkata, Jammu dan Kashmir telah menandatangani Perjanjian Perikatan seperti wilayah lain di India.

“Pakistan kemudiannya menceroboh dan mengambil beberapa kawasan wilayah Jammu dan Kashmir secara haram.

“Kerajaan Malaysia perlu ingat hubungan baik antara kedua-dua negara dan tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian,” katanya, menurut laporan The Economic Times.

28 Sept lalu di UNGA, Tun Dr Mahathir Mohamad antara lain menyebut, Jammu dan Kashmir telah ‘ditawan dan dijajah’, dan meminta New Delhi dan Pakistan bekerjasama menyelesaikan masalah tersebut.

Petikan kenyataan Perdana Menteri itu mengundang banyak komen di laman Twitter termasuk beberapa netizens, dipercayai warga India, yang menyuarakan rasa kecewa mereka menerusi #BoycottMalaysia.

Rakyat Malaysia kemudiannya memutuskan untuk tidak berdiam diri dan membalasnya dengan #BoycottIndia.