Syarikat penerbangan Malindo Air dalam satu kenyataan mengesahkan enam anak kapal mereka dikuarantin di Wilayah Zhengzhou, China pada 24 Januari lalu.

Ia selepas seorang penumpang dari Wilayah Hubei disyaki dijangkiti novel koronavirus menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Zhengzhou itu.

"Malindo Air ingin mengesahkan, enam krew telah dikuarantin sehingga 14 hari di Zhengzhou, China selepas penumpang daripada Hubei yang menaiki pesawat, dipercayai dijangkiti koronavirus," kata Malindo Air.

Malindo Air akan terus memantau situasi serta menyediakan segala maklumat kepada krew serta pihak berkuasa China, bagi meminimumkan penyebaran penyakit itu.

Syarikat penerbangan itu turut menjelaskan, tindakan pro-aktif terus diambil dengan menjalankan langkah saringan kesihatan terhadap penumpang semua destinasi terutama ke China.

Tambah Malindo, semua penumpang dari wilayah Hubei disarankan menunjuk sijil kesihatan sebelum berlepas menaiki pesawat, manakala penumpang yang didapati tidak sihat, tidak akan dibenarkan berlepas.

Bagi sebarang maklumat lanjut boleh berhubung Bahagian Perhubungan Pelanggan Malindo Air.