KELUARGA seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun di Amerika Syarikat mendakwa anak mereka digantung sekolah selepas mengaku dirogol tiga pelajar lelaki, termasuk salah seorang daripadanya positif HIV.

Pelajar berkenaan membuat aduan tentang kejadian yang berlaku Oktober tahun lalu di tandas Sekolah Tinggi Miami Carol City Senior, Florida, kepada seorang guru.

Namun pengakuan yang dibuat pelajar itu menyebabkan dia digantung persekolahan, menurut laporan saluran berita tempatan, Miami 7 News.

Ibu pelajar yang identitinya dirahsiakan itu memberitahu media, tindakan itu diambil pihak sekolah berdasarkan alasan pelajar perempuan itu tidak menjerit untuk menyelamatkan diri, dan sekolah menganggap ia satu kejadian 'atas kerelaan bersama'.


"Saya tidak faham dengan situasi ini. Anak saya terpaksa menghadiri sesi terapi dan tidak boleh tidur. Lebih teruk, pegawai penyiasat memberitahu salah seorang pelajar lelaki itu positif HIV.

"Bagaimana anda mahu menenangkan dan menjelaskan kepada seorang gadis remaja yang dia mungkin akan menghidap penyakit yang tiada penawar?" kata ibu pelajar itu sambil mendakwa, pihak jabatan pendidikan juga menyukarkan proses pertukaran anaknya ke sekolah lain.

Pelajar itu telah pun diberi ubat untuk HIV, namun sama ada dia akan dijangkiti penyakit itu hanya akan diketahui dalam tempoh setahun lagi, lapor portal berita tersebut.

Pentadbir sekolah bersama pasukan polis kini menyiasat kes berkenaan dengan teliti, dan maklumat berkenaan kes telah diberikan kepada Pejabat Peguam Negeri serta Jabatan Kanak-Kanak dan Keluarga (DCF), menurut satu kenyataan yang dikeluarkan sekolah itu kepada media.