"Kami mahu pulang tapi kami sangat takut sebab gempa masih berlaku, apa nasibnya kami pun belum tahu, anak pun mahu sekolah tetapi sekolah tidak ada, rosak semuanya," kata Dian Fadzilah.

Sejak Rabu lepas, Dian, 35, adalah antara ribuan penghuni khemah sementara yang menempatkan mangsa gempa bumi di Pidie Jaya di sini dan mereka kini bergantung kepada bantuan termasuk makan minum dan pakaian.

Katanya, setelah enam hari terpaksa tinggal dalam khemah, sememangnya mereka sekeluarga terasa bosan tetapi disebabkan gempa masih berlaku mereka tidak berani berada dalam rumah.

Ibu kepada tiga orang anak berusia antara dua tahun dan 10 tahun itu berkata, gempa susulan termasuk yang agak kuat malam tadi berukuran 5.4 skala Richter tersebut telah melemahkan semangatnya untuk pulang ke rumah.

"Rumah kami ada rosak-rosak juga, suami kerja sawah, kami tak tahu bagaimana mahu mula kembali hidup normal," katanya kepada Bernama.

Seorang lagi penghuni, Ahmad Rudi berkata rancangannya untuk pulang sering terganggu kerana gempa susulan.

"Saya fikir mahu pulang, tetapi bila gempa lagi saya fikir pula keselamatan anak isteri, tak tahu sampai bila harus begini," kata beliau.

Ahmad yang menjalankan perniagaan kedai runcit berkata kedainya mengalami kerosakan akibat gempa bumi pada pagi Rabu lepas namun beliau bersyukur rumahnya hanya mengalami kerosakan kecil.

"Kami tidur di luar rumah sahaja, masuk rumah pun sekejap sahaja kerana sekarang hidup kami sentiasa dalam ketakutan," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Mitigasi Gempa Bumi dan Tsunami Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika, Daryono dalam kenyataan berkata gempa yang terjadi di Pidie Jaya bersifat fluktuatif.

Katanya, disebabkan itu akan berlaku beberapa gempa susulan dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu, setakat ini telah berlaku lebih...gempa susulan.

Daryono berkata kebanyakan gempa yang berlaku itu adalah lemah kecuali dua kali yang berukuran 5 dan 5.4 skala Richter namun ia tidak mengakibatkan kemalangan jiwa dan runtuhan bangunan.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho dalam kenyataan medianya berkata, setakat ini jumlah mereka yang menghuni khemah pusat pemindahan adalah 45,329 orang.

Katanya, daripada jumlah itu, 43,613 orang di kawasan Pidie Jaya dan 1,716 orang di Bireun.

Sutopo berkata terdapat penduduk yang membuat khemah di hadapan rumah masing-masing kerana tidak berani tidur di dalam rumah.

Pegawai Daerah Pidie Jaya, Aiyub Ben Abbas berkata kerja-kerja pembersihan dijangka selesai dalam tempoh sehari dua lagi dan masyarakat digesa supaya meneruskan aktiviti harian seperti biasa.

Katanya, pihak berkuasa sedang meneliti laporan mengenai bantuan yang akan disalurkan kepada mangsa gempa.

Gempa bumi yang melanda Pidie Jaya itu mengorbankan lebih 100 orang dengan lebih 1,000 orang dilaporkan cedera dan ratusan bangunan termasuk rumah roboh dan mengalami kerosakan.

-- BERNAMA