Mangsa yang terperangkap dalam gua Tham Luang di Chiang Rai, Thailand dilapor dikeluarkan dengan bantuan ubat pelali kuda.

Menurut laporan yang dipetik daripada portal Daily Mail, seorang penyelam warganegara Britain yang terlibat dalam operasi berakhir Selasa itu mendakwa kesemua mangsa telah diberikan ubat pelali jenis ketamine bagi menenangkan mereka.

Ketamine merupakan sejenis sedatif yang digunakan antara lain ke atas haiwan bersaiz besar seperti kuda untuk melemahkannya.

Ia juga digunakan sebagai ubat penahan sakit di hospital selain dijadikan dadah rekreasi.



Pihak berkuasa Thailand dalam kenyataan sebelum ini menafikan penggunaan ubat pelali ketika operasi, malah mengesahkan kesemua mangsa dibawa keluar dalam keadaan sedar.

Namun Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-Cha akhirnya mengaku bahawa mereka telah menggunakan ubat pelali anti keresahan jenis anxiolytic ketika proses mengeluarkan mangsa dari gua tersebut.



Ubat pelali digunakan kerana kesemua mangsa yang terperangkap itu tidak boleh berenang dan sekiranya ia tidak digunakan, risiko untuk lemas akibat kekurangan oksigen adalah tinggi.

Menurutnya, ia juga bagi membantu mengurangkan rasa panik kesemua mangsa dan bagi memudahkan misi menyelamat yang menggunakan laluan bawah air.