Berita  | Dunia

'Marlboro Man' meninggal dunia pada usia 90 tahun

'Marlboro Man' meninggal dunia pada usia 90 tahun
Keluarga Norris menyatakan pemilihannya dibuat untuk membintangi iklan rokok itu kerana wajahnya yang tampan. Twitter John Duke Wayn
COLORADO: Robert Norris yang mendapat jolokan ‘Marlboro Man’ meninggal dunia pada usia 90 tahun awal minggu ini di kediamannya di Colorado, Amerika Syarikat.

Uniknya, selama 90 tahun hidup, Norris tidak pernah merokok walaupun membintangi iklan jenama rokok terkenal itu selama 14 tahun.

“Dalam iklan, selalu ada sebatang rokok pada tangan atau diletakkan di bibir Norris, tetapi dia tidak pernah merokok.

“Norris berhenti membintangi iklan selepas merasakan ia memberi contoh buruk kepada anak-anaknya," lapor notis obituari Norris di People.com.

Terdahulu, keluarga Norris menyatakan pemilihannya dibuat dalam membintangi iklan rokok itu kerana wajahnya yang tampan.

Pada waktu itu, syarikat berkenaan ingin meminjam haiwan ternakan Norris untuk iklan mereka, namun tertarik kepada Norris sekali gus melamar lelaki itu sebagai model iklan mereka.

Sebelum meninggal dunia, Norris hanya menghabiskan sisa hidupnya di ladang ternakan bersama empat orang anak, 13 cucu, dan 18 cicit.

Patung untuk memperingati Norris turut dibina di Colorado Springs.