Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) telah mengeluarkan Perintah Larangan (PO) untuk tempoh lima tahun terhadap Alan Tay Yeow Kee, bekas Naib Presiden CIMB Bank Bhd.

Perintah itu akan menghalang beliau daripada menjalankan sebarang aktiviti yang dikawal selia dan mengambil bahagian dalam pengurusan, bertindak sebagai pengarah atau menjadi pemegang saham utama mana-mana firma perkhidmatan pasaran modal di bawah Akta Niaga Hadapan dan Sekuriti (SFA), menurut MAS dalam kenyataan hari ini.

Pada 2011, MAS berkata beliau mengatur untuk orang lain membeli, bagi pihaknya, saham Qualitas Medical Group Limited dan Leeden Limited yang disenaraikan di Bursa Singapura pada masa itu.

Tay berbuat demikian semasa memiliki maklumat harga sensitif dan bukan awam bahawa kedua-dua syarikat telah menerima tawaran pengambilalihan, katanya.

Beliau mendapat maklumat dalam mengenai tawaran pengambilalihan itu berdasarkan kedudukannya di CIMB.

Harga saham Qualitas dan Leeden meningkat selepas tawaran pengambilalihan diumumkan oleh syarikat tersebut dan Tay mendapat keuntungan kira-kira S$30,000 daripada saham yang dibeli itu.

Pada Mei 2017, Tay didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan di bawah Seksyen 219(2)(b) SFA kerana dagangan orang dalam.

Tiga pertuduhan lain diambil kira untuk tujuan hukuman.

Beliau didenda S$180,000 oleh Mahkamah Daerah.

Perintah Larangan terhadap Tay dikeluarkan oleh MAS menurut Seksyen 101A SFA dan berkuat kuasa mulai 30 Julai, 2018.

Dagangan Orang Dalam di bawah Seksyen 219(2)(b) SFA Seksyen 219(2)(b) melarang seseorang yang memiliki maklumat harga sensitif melibatkan syarikat (yang dia tidak berkaitan), yang dia tahu atau patut tahu adalah harga sensitif dan tidak boleh didapati secara umum, daripada mendapatkan orang lain untuk melanggan, membeli atau menjual atau memeterai perjanjian untuk melanggan, membeli atau menjual sekuriti syarikat itu.

MAS berkata Tay adalah wakil CIMB dari November 2010 hingga November 2016.

-- BERNAMA