Presiden Lion Air, Edward Sirait, menolak dakwaan pesawat Boeing 737 MAX 8 yang terhempas di perairan Tanjung Karawang, Jawa Barat, dalam kejadian pagi Isnin, menghadapi masalah teknikal.

Katanya, masalah yang dihadapi pesawat Lion Air JT610 itu sebelum berlepas telah dibaiki mengikut prosedur yang ditetapkan pengeluar.

"Pesawat ini kali terakhir terbang dari Denpasar ke Cengkareng (Jakarta).

"Memang ada laporan berhubung isu teknikal, namun ia telah diselesaikan mengikut prosedur yang dikeluarkan syarikat pengeluar pesawat (Boeing)," katanya pada Isnin.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bentuk masalah teknikal yang dihadapi pesawat itu, yang membawa 189 penumpang termasuk dua juruterbang dan enam anak kapal.

Katanya, Lion telah mengendalikan 11 pesawat model yang sama dan pesawat-pesawat lain tidak mempunyai masalah teknikal yang sama.

Tambahnya, pihaknya setakat ini tidak bercadang untuk menghentikan operasi pesawat Boeing 737 Max 8 yang lain.