Selepas hampir dua bulan tidak menerima kunjungan jemaah, masjid di Tehran dibuka semula buat sementara pada malam Selasa bagi membenarkan orang ramai mengerjakan ibadah sempena Ramadan.

Sebuah masjid di kampus Universiti Tehran menganjurkan solat jemaah bagi malam Lailatulqadar, iaitu malam istimewa di bulan suci ini.

Sebaik memasuki kampus tersebut, sekumpulan pelajar jurusan perubatan akan memberi cecair pembasmi kuman kepada para jemaah dan mengedarkan topeng penutup hidung dan mulut.

Para jemaah juga perlu diperiksa suhu badan mereka terlebih dahulu sebagai langkah berjaga-jaga.

Bagi mengerjakan solat pula, lantai di masjid akan ditandakan bagi mempraktikkan penjarakan sosial sewaktu menunaikan solat.

Dalam kesempatan itu, ada juga beberapa keluarga lain tidak masuk ke masjid dan duduk di luar kampus dan mendengar doa melalui pembesar suara.

Bagaimanapun, masjid-masjid di negara itu akan dibuka untuk para jemaah pada tiga malam bermula Rabu selama beberapa jam sehingga keputusan lebih lanjut mengenai pembukaan semula dibuat oleh pihak berkuasa.

Pada pertengahan Mac lalu, pihak berkuasa Iran menutup masjid dan tempat ibadah untuk mengekang penularan COVID-19 yang telah mengorbankan lebih 6,700 mangsa dan menjangkiti lebih 110,000 individu di negara itu.