Penutupan sebahagian operasi kerajaan Amerika Syarikat memasuki hari ke-32, tetapi di sebalik kesukaran dihadapi lebih 800,000 kakitangan kerajaan, Presiden Donald Trump tetap enggan beralah.

Trump menyalahkan pihak Demokrat yang masih enggan tunduk kepada permintaannya yang mahukan dana untuk membina tembok di sempadan.

Katanya, penutupan operasi kerajaan akan diteruskan sehingga Demokrat meluluskan peruntukan 5.7 bilion dolar untuk tujuan itu.

Penutupan sebahagian operasi kerajaan bermula 22 Disember lalu selepas Kongres gagal mencapai kata sepakat berhubung kelulusan dana berkenaan.

Mereka yang terjejas, baik di kalangan pekerja taman negara hingga ke Biro Siasatan Persekutuan (FBI), telah tidak menerima gaji selama lebih sebulan.

Ini merupakan sebahagian daripada tekanan yang mahu dikenakan Trump ke atas Demokrat.

BACA: Trump ikrar terus tutup operasi kerajaan, masuk hari ke-4

Dalam pada itu, Speaker Dewan Nancy Pelosi menyifatkan tawaran konsesi Trump hujung minggu lalu untuk menamatkan penutupan operasi kerajaan sebagai tidak masuk akal.

Pelosi menegaskan, Demokrat akan mengemukakan cadangan mereka sendiri minggu ini.

Trump pada Sabtu menyatakan kesediaan melanjutkan perlindungan kepada kanak-kanak yang melarikan diri ke negara itu secara haram akibat bencana.

Ia sebagai pertukaran supaya Demokrat meluluskan dana pembinaan tembok sempadan.

Namun, tawaran Trump tidak cukup meyakinkan Demokrat.

Pelan itu juga dijangka tidak akan dapat undian mencukupi di Senat untuk diluluskan.