Semua individu yang masuk ke Hong Kong dari China wajib menjalani kuarantin selama dua minggu bermula Sabtu ini.

Perkara yang diumumkan Ketua Eksekutifnya, Carrie Lam itu adalah sebagai langkah dalam menangani penularan wabak novel koronavirus yang memasuki wilayah itu menerusi rentas sempadan.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan perincian berkenaan proses kuarantin yang akan dilaksanakan.

BACA: Koronavirus: Hong Kong rekod kematian pertama

BACA: Cathay Pacific arah 27,000 kakitangan ambil cuti tanpa gaji tiga minggu

"Tindakan ini adalah sesuatu yang sukar. Tapi saya percaya, selepas saya maklumkan bahawa semua yang tiba perlu dikuarantin selama 14 hari bermula 8 Februari, angka mereka yang tiba akan berkurangan," katanya.

Sehingga kini terdapat 21 kes positif virus itu di seluruh Hong Kong dengan satu kematian direkodkan.

Pada sidang media sama, Lam memaklumkan bahawa kerajaan Hong Kong akan memperuntukkan HK$10 bilion (RM5.3 bilion) untuk menangani wabak tersebut yang kini telah menjangkiti 20,000 orang selain meragut lebih 400 nyawa.

BACA: 10 penumpang kapal persiaran ditahan selepas positif koronavirus

BACA: Koronavirus: Hong Kong tutup 10 lintasan sempadan dengan China

Selain itu, 10 daripada 13 pintu sempadan ditutup termasuk dua terminal kapal persiaran di Hong Kong.

Dua pintu sempadan yang dibuka adalah di Jambatan Hong-Kong-Zhuhai-Macau dan Shenzhen Bay.

Sebelum ini, kumpulan pasukan perubatan melakukan protes yang mendesak kesemua pintu sempadan Hong Kong dengan Tanah Besar China ditutup sepenuhnya.