Seorang pemuda maut ditetak di hadapan isterinya yang sedang sarat mengandung dalam satu insiden mengerikan di daerah Nalgonda, Hyderabad.

Pembunuhan kejam yang dirakam kamera keselamatan menunjukkan mangsa, Pranay Kumar, 23 tahun, sedang berjalan keluar dari sebuah hospital di Nalgonda bersama isterinya yang hamil apabila dia diserang dari belakang oleh seorang individu bersenjatakan parang.

Isteri mangsa, Amrutha, 21, dilaporkan pengsan setelah menyaksikan suaminya dibunuh di depan mata dan terpaksa dikejarkan ke hospital.

Amrutha percaya bapa dan pakciknya terlibat dalam pembunuhan suaminya berikutan keduanya menentang keras perkahwinan mereka hanya kerana berasal daripada kasta berbeza.

Malah, Amrutha mendakwa bapanya turut mendesak agar bayi dalam kandungannya digugurkan.

"Saya tidak akan menggugurkan kandungan saya. Bayi ini adalah masa depan saya.

"Pranay seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab, saya tidak faham mengapa kasta masih menjadi isu di zaman ini," katanya sayu.

Pasangan muda terbabit dikatakan menjalinkan hubungan cinta sejak zaman kolej dan melangsungkan perkahwinan lapan bulan lalu.

Sementara itu, ayah Amrutha, Maruti Rao, yang juga seorang ahli perniagaan dan pakciknya yang dikenali sebagai Shravan telah pun ditahan pihak berkuasa dan dinamakan suspek utama dalam kes berkenaan.

Insiden bunuh tersebut mencetuskan protes orang ramai yang mahukan keadilan buat mangsa. - NDTV