Mayat bintang Bollywood, mendiang Sridevi akhirnya dibawa pulang ke rumahnya di Mumbai lewat malam Selasa.

Pelakon lagenda berusia 54 tahun itu mati lemas secara tidak sengaja di dalam tab mandi di bilik hotelnya selepas tidak sedarkan diri,.

Keluarganya membawa mayat pelakon itu ke Mumbai dalam sebuah kapal terbang peribadi milik Anil Ambani, industrialis terkaya di Mumbai.

Beberapa selebriti Bollywood dan ramai peminatnya berkumpul di lapangan terbang Mumbai untuk memberi penghormatan.

Upacara pembakaran mayat dijadualkan pada Rabu.

Suami Sridevi, Boney Kapoor merupakan pengeluar filem Bollwood terkenal dan abang mertuanya, Anil Kapoor merupakan pelakon terkenal Bollywood.

Kematian Sridevi menjadi antara topik yang hangat dibincangkan di seluruh dunia terutamanya bintang-bintang Bollywood yang setiap seorang memuat naik status di laman media sosial mengenai Sridevi dan kenangan mereka bersamanya.

Karier Sridevi bermula pada usianya empat tahun di Kollywood dan sebaik sahaja mencecah umur 13 tahun, Sridevi diberi watak dewasa sebagai seorang wanita yang ingin menuntut bela kematian kekasihnya.

Pertama kali Sridevi mendapat watak utama dalam filem Bollywood adalah pada 1978, dan tidak lama selepas itu dia muncul sebagai salah seorang pelakon paling popular India.