Duchess of Sussex, Meghan Markle mungkin dianggap bertuah apabila berkahwin dengan putera raja dan menjalani rutin harian dalam keadaan serba mewah.

Bagaimanapun, menurut sumber daripada istana, wanita itu sebenarnya menjalani kehidupan dalam keadaan terpencil dan bergelut menangani hidup yang sentiasa menjadi tumpuan berbanding kariernya sebagai pelakon sebelum ini.

“Meghan bergelut dengan tumpuan yang sarat. Walaupun dia pernah bergelar pelakon, tetapi kali ini amat berbeza. Ia seperti dia wujud dalam keadaan yang terpencil,” kata sumber itu kepada majalah People.

Terbaharu, Meghan, 37, bersama suami, Duke of Sussex, Putera Harry, 34, menghadiri tayangan perdana filem The Lion King dan sempat meluangkan masa bersama Beyonce Knowles dan Pharrel Williams.

Meghan sempat meluahkan tentang kehidupannya kepada Williams sebelum penyanyi itu membalas:

“Cinta itu menakjubkan. Indah. Jangan sesekali mengambil kesempatan ke atas cinta. Saya mahu anda tahu cinta amat bermakna kepada kita semua,” kata Williams.

Meghan dan Harry sebelum ini telah meningkatkan pengawasan ke atas mereka berdua sehingga mendapat kritikan daripada orang ramai sejak kelahiran Archie Harrison.

Ia termasuk kritikan pembaptisan Archie yang dibuat secara tertutup dan hanya dihadiri kerabat diraja.

Pemerhati keluarga diraja menyifatkan sikap Harry itu tidak ubah seperti bintang kelas A berbanding kerabat diraja Britain.

Dikenali dengan sikap yang peramah dan mudah didekati, Harry kini dikatakan meningkatkan kawalan ke atas dirinya semasa muncul di khalayak ramai.

Sementara itu, penulis biografi diraja, Penny Junor baru-baru ini menghasilkan sebuah artikel di Sunday Times yang mengisahkan lagak Harry lebih kepada bintang kelas A semasa pembatisan Archie dan bukan kerabat diraja!

Pasangan itu disaluti kemewahan termasuk Meghan yang dikatakan memiliki sebuah almari pakaian pada kos $1.4 juta (RM5.75 juta) yang dibayar menggunakan duit cukai rakyat.

“Mereka tidak boleh dapat semua yang dimahukan. Sama ada mereka menjalani kehidupan dalam keadaan privasi secara keseluruhannya, biayai perbelanjaan sendiri dan hilang daripada pandangan atau lakukan apa yang mereka sepatutnya buat,” kata Junor.