Australia berdepan situasi terburuk sejak pandemik COVID-19 melanda apabila dilaporkan sebanyak 532 kes baharu jangkitan COVID-19 pada Isnin.

Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews turut memberi amaran untuk melanjutkan lagi pelaksanaan perintah berkurung di bandaraya Melbourne bagi mengelakkan penularan wabak itu.

Katanya, pemakaian pelitup muka juga telahpun diwajibkan di kawasan itu sejak seminggu lalu.

"Kes baharu dengan enam kematian yang dilaporkan melebihi rekod sebelumnya iaitu 484 kes jangkitan pada Rabu lalu.

"Penyebab terbesar jangkitan baru adalah berpunca daripada penduduk yang terus bekerja meskipun mempunyai gejala.

Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison meminta semua pihak bertenang berdepan ancaman ini.

"Ketika penularan komuniti berlaku, kita tidak dapat elak kerana mula menular ke bahagian-bahagian lain khususnya masyarakat setempat.

Morrison dalam pada itu memberi amaran bahawa langkah-langkah tambahan akan dilaksanakan bagi memastikan virus ini tidak menular dalam kalangan warga emas.

"Wilayah New South Wales mencatatkan 17 kes baharu, termasuk lapan daripadanya merupakan pengembara yang diarah untuk menjalani proses kuarantin di hotel," ujarnya.