Tindakan Arab Saudi dan tiga sekutunya memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar dilihat pemerhati politik sebagai sesuatu yang sudah boleh dijangka.

Ini kerana krisis yang berlaku antara negara-negara teluk Arab ini sudah berputik sejak tahun 2012 lagi, menurut pandangan penganalisis politik Prof. Kamaruzzaman Yusoff.

Isu bermula ketika tercetusnya Kebangkitan Arab atau Arab Spring di mana Qatar dituduh membantu kerajaan Mesir yang ketika itu diketuai Mohamed Morsi, selain memberi kebebasan sepenuhnya kepada agensi media seperti Al-Jazeera, yang membawa kepada penyebaran maklumat sehingga jatuhnya beberapa kerajaan di Asia Barat.

Namun pertelingkahan antara keempat-empat negara ini dengan Qatar sampai ke kemuncaknya apabila Qatar News Agency dikatakan digodam oleh pihak tertentu, yang membawa kepada keluarnya beberapa kenyataan yang berbaur kontroversi.

"Penggodam menggodam Qatar News Agency (QNA) dan QNA dikatakan melaporkan pemimpin utama Qatar membuat kenyataan yang menyebabkan pergeseran lebih besar terutamanya dengan Arab Saudi.

"Antaranya kenyataan berkaitan kepemimpinan Trump di Amerika Syarikat selain mempertikaikan kempen Arab Saudi untuk menyingkirkan Iran daripada kuasa-kuasa lain di Asia Barat," kata Pro. Kamaruzzaman.


Qatar juga disifatkan sebagai duri dalam daging bagi rantau itu kerana kekerapannya mengambil langkah kurang popular, dan ia tentunya menimbulkan rasa kurang senang Arab Saudi yang dilihat berusaha keras mahu memastikan negara serantau memiliki pandangan dan mengambil tindakan yang sama dengan aspirasinya.

Selain Arab Saudi, Bahrain, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu turut mengambil langkah memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar.