Biarpun dunia masih belum menang dalam 'perang' melawan pandemik COVID-19, namun satu inisiatif baharu sudahpun dilaksanakan beberapa muzium di dunia dalam memperingati kehidupan dan pengalaman rakyat berdepan perintah berkurung.

Bermula dari selipar yang dipakai sepanjang ‘duduk di rumah’ atau hasil jahitan topeng muka ‘DIY’ sehinggalah apa sahaja objek dan testimoni yang digunakan sepanjang menjalani kehidupan normal baharu ketika ini.

Muzium London, antaranya, melancarkan permohonan kepada semua penduduk London untuk menyumbang pelbagai barangan yang mencerminkan kehidupan mereka ketika berdepan ancaman wabak COVID-19.

“Apabila kami mengetahui bahawa terdapat pelaksanaan perintah berkurung, kami mula berfikir untuk mula membuat koleksi pameran untuk kegunaan masa hadapan.

“Ia boleh terdiri daripada apa-apa barangan yang mungkin pernah memberi keselesaan kepada anda sepanjang berkurung di rumah...contohnya selipar kegemaran atau topeng muka dijahit khas buat kegunaan petugas barisan hadapan,” lapor Kurator Kanan Muzium London, Beatrice Behlen kepada agensi berita AFP.

Behlen berkata antara bahan berjaya dikumpul setakat ini adalah bekas jem buatan sendiri dan alat muzik mudah alih yang sering digunakan untuk bertepuk tangan.

"Sisi menarik yang kami lihat adalah kisah di sebaliknya, bukan peralatan itu sendiri.

"Barang tersebut adalah barang yang memberi makna kepada individu berkenaan dan kami ingin mereka berkongsikan tentangnya kepada orang lain," katanya lagi.