Kemahsyuran seekor kucing yang mempunyai wajah 'marah' atau dikenali sebagai 'Grumpy Cat' kini sama seperti selebriti terkenal di alam maya.

Ini kerana kucing tersebut sering menjadi meme bahan jenaka pengguna di laman sosial.

Malah siapa sangka hari ini kucing tersebut membawa tuah kepada pemiliknya, Tabatha Bundesen apabila menerima wang ganti rugi bernilai RM2.3juta (AS$710,000).

Wang itu diberikan berikutan kejayaannya memenangi sebuah kes mengenai hak cipta dari sebuah syarikat pengeluar minuman yang menggunakan wajah kucing tersebut sebagai bahan promosi pada produk lain.

Kes itu bermula pada tahun 2013 apabila syarikat pengeluar minuman Grenade Breverage mula menawarkan kontrak kepada pemilik Grumpy Cat.

Syarikat berkenaan berjanji akan membayar sebanyak RM583,000 (AS$150,000) untuk menggunakan gambar kucing tersebut pada botol minuman keluaran syarikat mereka.

Namun pada tahun 2015, Bundesen telah menyaman syarikat berkenaan kerana mengkhianati perjanjian yang pernah dibuat apabila menggunakan wajah kucing berkenaan pada produk lain iaitu kopi dan baju.

Pihak mahkamah California memutuskan kemenangan berpihak kepada Bundesen dan mengarahkan syarikat terbabit membayar ganti rugi dan denda seperti yang ditetapkan.

Wajah unik yang dimiliki kucing itu berpunca daripada penyakit dwarfism yang memberi kesan kepada struktur rahangnya.

Grumphy Cat juga pernah diundang di beberapa rancangan televisyen dan membintangi filem bertajuk Grumpy Cat's Worst Christmas Ever.