Mercu tanda popular Paris, Menara Eiffel, akan kembali dibuka kepada pengunjung bermula 25 Jun ini.

Menerusi laman web rasminya, pihak pengurusan Menara Eiffel memaklumkan mereka akan mengambil beberapa langkah berjaga-jaga antaranya pemakaian topeng muka, mengehadkan jumlah pelawat dalam satu-satu masa dan pembersihan dan pembasmian kuman harian.

Pengurusan juga akan memastikan tidak berlaku kesesakan pengunjung yang naik dan turun dengan mengasingkan mereka mengikut tangga iaitu di bahagian timur dan barat.

Pelawat dinasihatkan membeli tiket melalui dalam talian untuk memudahkan proses, selain membantu mengelakkan kesesakan di kaunter jualan.

Menara ikonik itu ditutup sejak 13 Mac lalu akibat wabak COVID-19. Penutupan selama tiga bulan itu adalah paling lama sejak zaman Perang Dunia Kedua.