Tutup

Berita  | Dunia

Menelusuri perkampungan diaspora Patani di Ramkhamhaeng Soi 53

Menelusuri perkampungan diaspora Patani di Ramkhamhaeng Soi 53
Dua wanita tempatan menaiki motosikal sepanjang lorong bersebelahan Terusan Saen Saep di Ramkhamhaeng, Bangkok. Astro AWANI/SHAFIZAN JOHARI
PENGUATKUASAAN sempadan dan undang-undang imigresen di Malaysia yang lebih ketat, ditambah pula dengan peluang kerja yang sedikit di wilayah Selatan Thai menjadikan warga Patani kini lebih cenderung memilih Bangkok sebagai destinasi cari rezeki utama.

Jika dahulu, negeri-negeri dan wilayah Semenanjung Tanah Melayu seperti Kelantan, Kedah dan Kuala Lumpur dijadikan sebagai sandaran untuk mencari rezeki di perantuan, akan tetapi peranan itu sudah sedikit sebanyak beralih kepada Bangkok.
"Kalau dahulu ayah saya membuat kerja sawah sampai ke Kedah, tetapi generasi muda Patani sekarang ramai yang memilih untuk merantau ke Bangkok untuk mencari rezeki," kata Isma Ae Mohamad, 37 tahun, penulis buku berketurunan Melayu-Patani yang kini bergelar anak rantau di Bangkok.

"Permit kerja juga mahal, jadi kalau mahu minta kerja (secara sah) di Malaysia, orang akan berfikir dua kali," ujar sosok yang masih berstatus bujang itu.
Ia ditambah juga dengan golongan ibu bapa di Patani yang seolah-olah mendesak anak-anak keluar dari kampung, bukan sahaja untuk cari kerja yang lebih baik, tetapi untuk turut mengelakkan mereka daripada terjebak dengan gejala negatif.

Ia khususnya melibatkan gejala ketagihan ketum, yang semakin menular dalam kalangan anak-anak muda Patani sekarang ini, dek kerana bekalan yang mudah dari negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia.

Hampir kebanyakan daripada mereka yang berhijrah ke Bangkok tertumpu di Ramkhamhaeng terutamanya di Lorong atau 'Soi' 53.

Malah, pemilihan lorong ini bukan satu kebetulan, tetapi ada kaitan rapat dengan generasi pertama diaspora Patani yang berpindah ke Bangkok pada kurun ke-18 lagi.


Seorang wanita tempatan selasa bertudung ketika cuba melangkah memasuki bot yang mudik di Terusan Saen Saep.


"Dulu, orang-orang Patani dibawa ke Bangkok sebagai tawanan perang. Setibanya di Bangkok, mereka dikerah untuk mengorek 'khlong' ini," kata Isma Ae sambil menunjuk ke arah Terusan Saen Saep.

Terusan itu satu daripada puluhan terusan buatan manusia di Delta Chao Phraya, yang menjadi 'urat' kepada sistem saliran dan pengangkutan air sejak zaman kegemilangan Kerajaan Ayuthya dan Siam.

"Kemudian mereka mula mendirikan perkampungan, rumah dan sekolah," tambahnya.

Bangunan pangsapuri dan asrama menjadi pemandangan biasa di Soi 53 Ramkhamhaeng.

Pada mulanya, mereka masih mengamalkan budaya 'ke-Patani-an' mereka di sini tetapi semuanya berubah didorong proses asimilasi menerusi dasar Rattaniyom yang dilaksanakan kerajaan Thailand sejak 1942.

"Dulu ada sekolah khusus untuk orang Patani di sini, tetapi sejak dasar kebangsaan Thailand itu dilaksanakan, sekolah-sekolah itu diambil alih kerajaan dan pengajian bahasa Melayu pula diganti dengan silibus kebangsaan," jelas Isma.

Ini menjadikan generasi gelombang pertama terakhir yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu kebanyakannya sudah tiada sejak tahun 1990an, sementara cucu-cicit mereka sekarang lebih selesa membawa identiti warga Thai-Muslim.

Gelombang kedua warga Patani pula hanya tiba pada awal 1990an, apabila Bangkok mula dilihat sebagai destinasi rezeki yang berpotensi.

"Jadi, di sini, kalau anda boleh dengar cara pertuturan mereka, kita dapat bezakan sama ada mereka ini keturunan daripada diaspora gelombang pertama, yang sudah sebati berasimilasi sebagai bangsa Thai, atau komuniti gelombang kedua, yang masih ada pengaruh kuat bahasa Melayu dalam pertuturan," kata Isma.

Begitupun, peningkatan migrasi warga Patani sejak 10 tahun kebelakangan ini menjadikan 70 peratus daripada komuniti Muslim di 'soi' ini adalah warga gelombang kedua.

Maka tidak hairan, jika anda dapat mendengar anak-anak muda beruniform universiti atau jururawat-jururawat cantik berturut dalam bahasa Melayu (dengan loghat Patani atau mirip loghat Kelantan yang pekat) jika anda datang ke kawasan ini.

Selain di Ramkhamhaeng, diaspora Patani juga mendiami beberapa lorong atau 'soi' di Ratchadewi, Sathon dan Mimburi. 



Kenapa perlu berkunjung ke Ramkhamhaeng Soi 53?

"Pad thai sa! (pad thai satu)" minta saya kepada seorang peniaga wanita di tepi jalanan.

Hidangan signatur rakyat Thailand yang diilhamkan Perdana Menteri Phibun Songkhram itu turut mendapat sentuhan wanita Patani ini sebagai manifestasi semangat kebangsaan Thai.

Jika diperhatikan dengan lebih dekat, penjaja di sepanjang jalan ini ada dari keturunan gelombang pertama dan ada juga dari diaspora baharu.

Apapun, makanannya halal dan sedap. Mungkin agak cetek kenyataan itu, tetapi itulah kebenarannya.

Waktu yang paling ideal untuk datang memuaskan nafsu makan pula ialah sekitar jam 5 petang apabila peniaga jalanan sudah memulakan perniagaan mereka.

Anda boleh sahaja mundar-mandir sekitar lorong-lorong di perkampungan moden di antara bangunan kedai, flat kediaman, asrama pelajar dan rumah tradisi sambil mencari makanan ala-Thai atau pencuci mulut Patani-Kelantan kegemaran anda.

Akan tetapi jika anda tiba ke sini lebih awal dalam keadaan lapar, boleh sahaja ke Soi 56 Ramkhamhaeng  di mana ada sebuah medan selera yang sahaja menyajikan pelbagai jenis makanan halal, malah ia juga tersusun dan bersih.

Peniaganya juga seakan-akan faham loghat Melayu-Kedah bercampur telo Johor-Riau yang saya tuturkan.

Medan selera ini dibina bukan sahaja bagi memenuhi permintaan penduduk Muslim sekitar, tetapi juga pelajar-pelajar Universiti Ramkhamhaeng yang menjadi universiti pilihan pelajar dari wilayah Selatan Thai dan penonton dan peminat sukan yang hadir ke Stadium Rajamanggala di seberang jalan.


Antara menu makanan halal yang dijual di medan selera di Soi 56 Ramkhamheang.

Waktu malamnya pula, ada pula kafe-kafe ala indie yang tidak kalah bersaing dengan bar dan kelab ala hedonis, menawarkan lokasi lepak ideal bukan sahaja untuk 'geng rakan masjid' yang selesai menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjid Jami-ul-Islam yang dibina lebih 100 tahun lalu  tetapi juga kepada golongan pelajar untuk cari kelainan dan 'port' lepak di luar blok asrama.


Ramkhamhaeng Soi 53 lambang konflik Patani yang berpanjangan

Warna bahagia, tenang dan aman Ramkamheang Soi 53 bukan hadir tanpa coretan hitam legam yang sentiasa menjadi igauan, baik kalangan penduduk malah pihak keselamatan sendiri.

Ramkamheang Soi 53 dikhuatiri masih dilihat sebagai sarang puak ekstremis.

Pada Oktober 2016, sekurang-kurangnya 40 ditahan pihak berkuasa susulan cubaan letupan bom kereta yang mensasarkan Lapangan Terbang  Suvarnabhumi dan beberapa mercu tanda lain.

Tangkapan berkenaan turut mendapat perharian Human Rights Watch.

Bagaimanapun insan seperti Isma Ae ini diyakin berupaya memberikan jiwa baharu kepada naratif Ramkamheang yang kaya dengan kepelbagaian latar masyarakat di sini yang penuh warna - makanan halal, aktivisme pelajar, kerja ibadah Islam dan tentu bukan sahaja terhad kepada isu keganasan dan memerangi stigma dan Islamophobia.

Setelah selesai novel yang baru sahaja diterbitkan bulan ini berjudul Perang Patani - Singgora, satu-satunya anak Melayu-Patani yang menghasilkan naskah dalam bahasa Melayu ini mengerjakan sebuah lagi menuskrip yang mengambil latar Ramkamheang.

"Kebiasaannya dalam perbualan harian masyarakat Patani, jika tahu seseorang itu tinggal atau bekerja di Bangkok, biasanya akan bertanya tempat tinggal seseorang itu di Bangkok, contohnya, tinggal di Ramkhamhaeng? Atau lebih spesifik lagi soalan, tinggal Soi 53?," bicara Isma Ae.

Begitulah betapa Jalan Ramkhamhaeng atau lebih khusus lagi, Soi 53 menjadi tempat bermukim paling ramai penghijrah Patani di Bangkok, jadi untuk merakam kisah-kisah perantau Patani di Bangkok, Ramkhamhaeng atau Soi 53 tempat paling tepat," katanya.

Bagi anak Sungai Golok ini, meskipun rakaman kisah-kisah itu nanti ditulis dalam bentuk fiksyen, beliau harap ia menjadi 'dokumen' tidak rasmi anak tanah jajahan negara Thai di ibu kota untuk menunjukan mereka wujud, dan mereka berbeza.

Isma Ae Mohamad, 37, penulis buku berketurunan Melayu-Patani yang kini bergelar anak rantau di Bangkok menunjukkan buku terbaharunya 'Perang Patani-Singgora'.

Hasil penjelajahan mencari makanan halal di Ramkhamhaeng, saya dapat lihat di sebalik dasar kebangsaan Thailand yang mengutamakan kesatuan budayanya, ia tetap inklusif dan membuka ruang kepada setiap warganya untuk menjadi bangsa Thai mengikut cara mereka sendiri.

Ini lantas memberi peluang kepada komuniti Patani ini untuk mengambil bahagian sebagai bangsa Thai yang sempurna, dengan identiti, aspirasi dan pandangan yang berbeza.

Jika pentadbiran Bangkok dapat melihat perkara yang tersirat daripada warna yang tersurat di Ramkamheang ini, tentu sekali ia dapat memahami antara masalah pokok yang berlaku di Selatan Thailand - keadilan sosial; peluang pekerjaan, pembangunan, isu ketagihan dadah dan pendidikan, lantas berupaya untuk mencari jalan penyelesaian, yang jelas terasing daripada isu pemisahan Patani.

Untuk mencari ramuan keamanan berpanjangan di Selatan Thailand, Bangkok mungkin perlu terus bijak mengenali perbezaan orang-orang Patani, termasuklah yang diam di Soi 53 ini berbanding warga Thai-Islam yang lain.

Orang Patani yang masih menginsafi diri sebagai orang Patani hadir dengan pandangan dan aspirasi yang jelas berbeza walaupun berkongsi agama, keturunan dan genetik dengan komuniti berketurunan Melayu-Islam-Thai lain yang sudah berjaya diasimilasikan.

Jika keharmonian berjaya dicipta di Ramkamheang, tak mustahil perkara sama juga boleh dicapai di Patani.

Mungkin dengan dorongan semua 10 pemimpin negara ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung di Bangkok hujung minggu lalu dapat memberikan dimensi baharu kepada usaha rekonsiliasi Patani yang sehingga kini seolah-oleh terus berdepan laluan suram dan kelam.


* Shafizan Johari ialah Editor Perancangan Hadapan Astro AWANI dan pernah menerbitkan buku "No PC, No Jolok."

** Penulis menggunakan terma 'Patani' untuk merujuk kepada etnogeografi komuniti dan kawasan tinggalan Kerajaan Melayu Patani yang berakhir pada 1902. Ia merangkumi wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan sebahagian wilayah Songkhla, Thailand.

*** Artikel ini adalah catatkan peribadi beliau yang diterbitkan sebagai salah satu siri laporan khas mengenai Patani dan Selatan Thailand.