Berita  |  Dunia

Menelusuri riwayat Kim Jong Nam: Siapa dan mengapa?

Menelusuri riwayat Kim Jong Nam: Siapa dan mengapa?
Korea Selatan pada Rabu mengeluarkan kenyataan bahawa abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, iaitu Kim Jong Nam, sememangnya menjadi mangsa bunuh di Malaysia.
DILAHIRKAN pada 10 Mei 1971, Kim Jong Nam merupakan anak sulung kepada bekas pemimpin tertinggi Korea Utara, mendiang Kim Jong-ll.

Jong Nam juga adalah abang tiri kepada pemimpin Korea Utara ketika ini, Kim Jong-un. Jong Nam adalah hasil perhubungan Jong Il dengan aktres Song Hye Rim.

Sebelum adiknya menjadi pemimpin, Jong Nam dinamakan sebagai pewaris bapanya sebagai pemimpin Korea Utara.

Kedua-dua beradik ini memiliki raut wajah bulat dan air muka yang hampir sama, gaya jalan dan ekspresi yang sama, namun kedua-duanya dikatakan tidak pernah bersua muka.


Kim Jong Nam merupakan anak sulung hasil hubungan Kim Jong-Il dengan pelakon tempatan Song Hye-rim, manakala Kim Jong-un anak keempat hasil hubungan Jong il dengan Koh Young Hee - Foto Reuters
 
Memetik laporan CNN pada Januari 2012, wartawan akhbar Tokyo Shimbun, Yoji Gomi yang merupakan penulis biografi kisah Jong Nam berjudul  "My Father, Kim Jong Il, and Me," berkata, Jong Nam merupakan seseorang yang berfikiran terbuka lebih-lebih lagi mengenai perubahan ekonomi serta berpengetahuan tinggi mengenai hal dunia.

Selepas temubual dibuat dalam lebih 150 e-mel, Gomi menyifatkan Jong Nam lantang menentang dasar yang dibuat bapanya terutama dasar kepimpinan ketenteraan.

Biografi kisah Jong Nam berjudul  "My Father, Kim Jong Il, and Me," diterbitkan pada Januari 2012 oleh wartawan akhbar Jepun, Yoji Gomi. - Foto AP
 
Jong-nam juga sebelum ini pernah dilaporkan secara meluas mengenai percubaannya memasuki Jepun menggunakan pasport palsu kerana ingin melawat Taman Tema Disneyland di Tokyo pada Mei 2001.
Insiden itu telah membawa satu perubahan besar kepada hubungan Jong Nam dan bapanya.

Sejak itu, Jong Nam dibuang ke China dan Jong Un diangkat sebagai pewaris kedudukan Jong Il pada tahun 2003.

Keratan potret keluarga pada tahun 1981 menunjukkan Kim Jong Il dengan anaknya Kim Jong Nam - Foto Reuters
 
Bagaimanapun, menerusi temu bual bersama Gomi, Jong Nam dikatakan menafikan sekeras-kerasnya bahawa tindakannya itu telah menyebabkan bapanya menggugurkan namanya sebagai pengganti kepemimpinan Korea Utara.

Jong Nam mendakwa bahawa namanya digugurkan sebagai calon pewaris kerana beliau cenderung melakukan reformasi lantaran menerima pendidikan di Switzerland.

Sejak itu, hubungan beliau dan bapanya semakin renggang kerana Jong Nam dilihat telah membawa pemikiran Kapitalisme.

Dalam satu e-mel kepada Gomi, Jong Nam berkata:

"Selepas saya kembali ke Korea Utara selepas belajar di Switzerland, hubungan saya dengan bapa semakin jauh kerana saya berkeras mahukan pembaharuan dan pasaran terbuka, namun ia menimbulkan syak wasangka.

"Bapa berasa sangat sunyi selepas menghantar saya belajar di luar negara. Apabila dia merasakan bahawa saya akan menjadi kapitalis selepas tinggal di luar negara selama bertahun-tahun, pendidikan luar negara untuk adik-adik saya telah dipendekkan.”

Yoji Gomi bertukar-tukar e-mel lebih dari 150 kali dengan Kim Jong Nam sebelum menerbitkan bukunya. - Foto AP

 
Dalam temu bual itu juga, Gomi memberitahu, Jong Nam percaya bahawa kepimpinan adiknya akan gagal.

Kata Gomi, Jong Nam tidak selesa dengan pelantikan Jong Un kerana adiknya dilihat masih mentah, kurang pengalaman dan tidak dilatih secukupnya.

Dengan tiga alasan itu, beliau merasakan kepimpinan adiknya bakal menemui kegagalan.

Jong Nam telah tinggal dalam buangan dengan menggunakan identiti samaran bersama keluarganya di Macau.

Beliau dikatakan mempunyai dua isteri, sekurang-kurangnya satu perempuan simpanan, dan beberapa anak di Macau dan Beijing.

Kekasih di Singapura

Kim Jong Nam telah dilihat sering melawat Singapura dan juga dipercayai mempunyai seorang kekasih yang tinggal di sana.

Beliau juga diketahui telah pergi ke Austria dan Perancis atas sebab-sebab perubatan.

Begitupun, tidak diketahui atas urusan apa beliau datang ke Malaysia.

Berita mengenai Jong- Nam menjadi mangsa bunuh telah dilaporkan mula-mula oleh agensi berita Yonhap dan beberapa agensi Korea Selatan dengan memetik sumber yang tidak dinamakan.

Namun, tiada maklumat lanjut diberikan.

Dalam insiden di Malaysia, pihak polis berusaha mendapatkan butiran lanjut identiti lelaki Korea Utara yang cuba mendapatkan bantuan perubatan awal di kaunter khidmat pelanggan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Selasa, menggunakan dokumen perjalanan sebagai 'Kim Chol', serta tertera tarikh lahir yang berbeza iaitiu 10 Jun 1970.