Berita  | Dunia

"Mengapa saya dilahirkan pendek, gemuk dan hodoh?" - Nota bunuh diri kanak-kanak 10 tahun

"Mengapa saya dilahirkan pendek, gemuk dan hodoh?" - Nota bunuh diri kanak-kanak 10 tahun
Kanak-kanak perempuan di Singapura meluahkan perasaan yang dipendamnya sehingga sanggup membunuh diri kerana dilahirkan hodoh serta gemuk.-foto thecoverage.my
SINGAPURA: Seorang kanak-kanak di Singapura yang mengalami kemurungan kerana bertengkar dengan ibunya memilih untuk meluahkan perasaan melalui sekeping nota. 

Memetik portal The Coverage, kanak-kanak itu berfantasi sambil meluahkan perasaan dalam nota tersebut tentang nikmat sekiranya dia dapat mengambil pisau dan berjaya menikam dirinya.

The Straits Times melaporkan nota ‘bunuh diri’ itu telah dijumpai ibunya ketika sedang mengemas bilik anaknya pada tahun lepas.

Setelah menemui nota yang mengejutkan itu, dia segera meminta bantuan FutuReady Asia’s Character dan Leadership Academy demi membantu mengatasi masalah kemurungan anaknya itu.
Kanak-kanak tersebut turut meluahkan perasaan bencinya kerana dilahirkan dengan rupa yang ‘hodoh’.

Dia memulakan luahannya dengan menyatakan perasaan sayang kepada kedua ibu bapanya dan sentiasa ingin melihat mereka tersenyum.

Kanak-kanak itu bagaimanapun berasa sedih serta berada dalam kemurungan bermula pada hari dia memberontak kerana merasakan masakan ibunya tidak sedap.

Antara kandungan nota tersebut berbunyi, “Saya rasa sangat teruk. Saya rasa macam hendak terjun bangunan dan mati, tapi saya tahu dia (ibu) akan menangis dengan teruk. Jadi, saya akan rahsiakan perkara ini.

''Saya terfikir kenapa ibu melahirkan saya dengan rupa sebegini. Pendek, gemuk, dan hodoh. Dia tak suka lihat saya menangis setiap masa.

''Alangkah bagusnya rasa itu ketika saya dapat sebilah pisau dan berjaya tikam diri saya. Tiada lagi buli. Tiada lagi kerja sekolah. Saya akan bunuh diri pada suatu hari nanti.

''Saya tidak akan lagi tersenyum. Hanya menangis! Saya akan memuji diri sendiri kerana ‘bodoh’. Saya tak mahu hidup lagi! Maaf buat ibu menangis!”, luah kanak-kanak tersebut dalam nota tulisannya.

Bagaimanapun, emosi kanak-kanak itu dikatakan makin stabil setelah ibunya meminta bantuan khidmat kaunselor bagi membantunya.

Namun tiada siapa sangka, dia selama ini memendam perasaannya ekoran sikap ceria yang ditampilkannya di sekolah serta keputusan cemerlang diperolehinya dalam peperiksaan.

Ibu bapanya dipercayai kurang meluangkan masa bersamanya kerana sibuk bekerja dan dia turut dibuli rakan sekelasnya di sekolah.

Satu kajian di Singapura mendapati kanak-kanak yang mengalami masalah kemurungan adalah bermula pada usia seawal 7 tahun.