Tutup

Berita  | Dunia

Mengimbas semula kisah sedih kereta api maut Burma-Siam

Mengimbas semula kisah sedih kereta api maut Burma-Siam
Adalah dianggarkan hampir 180,000 orang awam dikerah sebagai pekerja paksa meliputi orang Jawa, China, Burma dan Tamil dalam pembinaan landasan kereta api tersebut. - Gambar hiasan
RAMAI peminat filem klasik yang berunsur  sejarah pasti masih ingat dan terharu menonton filem  Hollywood Bridge on the River Kwai, pembikinan Hollywood  kesan terpengaruh inspirasi novel,  penulisan Pierre Boulle.

Apakah generasi muda rakyat Malaysia sedar kisah di belakang pembinaan kereta api maut yang turut  melibatkan penduduk Tanah Melayu sebelum merdeka, terutamanya  kaum Tamil. Projek kereta api maut tersebut adalah umumnya  dirujuk  dalam jurnal-jurnal  sebagai 'Burma-Siam Death Railway'.
Jambatan kereta api yang merentasi Sungai Kwai yang menjadi salah satu adegan penting dalam filem tersebut adalah dibina oleh pekerja-pekerja paksa Tamil dari Malaya.

Pihak Jepun yang menakluki negara-negara Asia Tenggara, terutamanya  Burma, Singapura dan Malaya semasa Perang Dunia Kedua (WWII)  ingin menakluki dan menguasai benua India daripada British. 
Untuk membantu hasrat menakluki India, tentera Jepun  memerlukan senjata-senjata dan logistik tentera untuk menyerang pihak tentera British yang menetap di India. 

Dalam hal ini,  pihak Jepun memutuskan menggunakan  jalan darat sebagai satu strategi pengangkutan  untuk mengangkut  logistik ketenteraan  mereka  supaya  dapat mengelak pengangkutan melalui kapal yang  terdedah  kepada ancaman  serangan  pihak tentera  British dan Amerika,  yang menguasai perairan Teluk Bengal dan Selat Melaka.

Dengan itu, landasan kereta api  sepanjang 415 kilometer dicadang dibina dari Ban Pong, Thailand  ke  Thanbyuzayat, Burma bagi memudahkan mengangkut  logistik ketenteraan Jepun ke Burma melalui Thailand. 

Projek pembinaan landasan tersebut  bermula pada September 1942 di Burma dan November 1942 di Thailand  oleh  dua  kumpulan pekerja, iaitu satu kumpulan bergerak dari utara ke selatan dan  satu kumpulan lagi bergerak  dari selatan ke Utara.

Akhirnya kedua-dua kumpulan tersebut  selesai pembinaan dan bertemu di Kancanapuri, Thailand pada bulan  Oktober 1943.

Sebahagian besar  tenaga kerja  yang terlibat dalam  projek ini adalah tentera Jepun melibatkan  12,000   termasuk  orang  tahanan  perang dunia kedua (POW), meliputi tentera Australia, British dan orang awam. 

Adalah dianggarkan hampir 180,000 orang awam dikerah sebagai pekerja paksa meliputi  orang Jawa, China, Burma  dan Tamil dalam pembinaan landasan kereta api tersebut.

Dalam pada itu, ada laporan yang menyatakan Indian National Army (INA) kepimpinan Subash Chandra Bose, memaksa orang India menyokong  dan membantu Jepun dengan harapan Jepun akan membebaskan India daripada belenggu penjajahan British.   

Kumpulan buruh yang dipaksa menjalankan kerja-kerja kasar adalah dirujuk  sebagai ‘romusha’(dalam bahasa Jepun)  yang dianggarkan hampir  100,000 orang  keturunan Tamil dari Malaya.  Kumpulan Tamil  ini adalah buruh  yang dikerah  dengan paksa dari  ladang-ladang getah, tempat kediaman mereka di seluruh Malaya.

Menurut catitan sejarah, hampir 60,000 orang  daripada jumlah 100,000 orang romusha Tamil mati di tempat kerja mereka sepanjang pembinaan landasan keretapi tersebut akibat kekurangan makanan  dan  diserang  oleh pelbagai jenis  penyakit seperti malaria, kolera dan cirit-birit.

Sehubungan dengan kisah landasan kereta api maut, timbul pula kini isu pampasan bagi buruh paksa landasan keretapi maut tersebut. Adalah dianggarkan  sejumlah 30,000 orang didaftarkan sebagai waris   pekerja paksa  kereta api maut, meliputi  60 peratus orang Melayu, 20 peratus India, 15 peratus Cina dan 5 peratus lain-lain.

Sementara itu, pihak yang mewakili  kumpulan  mangsa buruh paksa  tersebut mendakwa kononya  pihak kerajaan Jepun telahpun menyerahkan  sejumlah RM207 bilion sebagai pampasan kepada  keluarga dan waris pekerja paksa tersebut.

Persoalannya, apakah benar dakwaan tersebut yang kini tersebar luas dalam media sosial, yang mampu mengelirukan pemikiran rakyat secara amnya dan  masyarakat Tamil secara khususnya menjelang  PRU14?

Walau apapun, simposium  yang dianjurkan khas untuk mengingati dan membincang kisah  sedih pengkorbanan nyawa  buruh paksa, terutamanya masyarakat keturunan Tamil, dalam  projek pembinaan 'jalan kereta api maut Burma-Siam’ akan di adakan di Auditorium Bandar  Raya Kuala Lumpur pada 16 September 2016 bersamaan hari menyambut Hari Malaysia.

Semoga simposium ini bukan sahaja dapat merekodkan penghargaan kepada orang yang selamat kembali ke pangkuan keluarga mereka daripada maut malah kepada orang yang terkorban nyawa semasa dipaksa membina landasan kereta api maut tersebut.

Adalah diharapkan simposium tersebut dapat menjawab pelbagai spekulasi yang timbul dalam pemikiran kaum India terhadap isu pampasan,  kononnya disediakan oleh kerajaan Jepun  untuk buruh paksa dari Malaya.



*M.Periasamy merupakan penganalisis politik MIC dan pensyarah komunikasi strategik di Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR)

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.