Pesta demokrasi Indonesia yang diadakan setiap lima tahun sekali iaitu Pemilihan Umum (Pemilu) bagi tahun ini terhenti sejak tengah malam Sabtu.

Sebaik berakhir debar terakhir antara pasangan calon Presiden nombor satu, Joko Widodo atau Jokowi dengan Ma’aruf Amin dan pasangan calon Presiden nombor dua, Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno, tiada lagi liputan mengenai Pemilu di media massa.

Bahkan, segala poster, risalah dan billboard tidak dibenarkan digantung manakala kempen-kempen Pemilu pula tidak boleh dianjurkan menjelang hari penentuan pada 17 April ini.

Peraturan yang dibuat Komisi Penyiaran Indonesia (KPI) itu seiring dengan pelaksanaan tempoh bertenang selama tiga hari.

Menurut Ketua KPI Pusat, Yuliandre Darwis, lembaga penyiaran melarang segala bentuk pemberitaan yang menjurus pada kempen politik yang boleh menguntungkan atau merugikan mana-mana pihak.

Dalam masa sama, stesen-stesen televisyen juga tidak dibenarkan untuk menayangkan sebarang rakaman debat Presiden yang diadakan sebanyak lima kali sebelum ini.

Tempoh bertenang selama tiga hari dilaksanakan di Indonesia sebagai memberi peluang kepada pengundi-pengundi di negara ini berfikir dengan tenang dan membuat pertimbangan yang rasional semasa keluar mengundi pada 17 April ini.

Sementara itu, anggota Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu), Mochammad Afifuddin berkata, pihaknya akan membersihkan segala bahan kempen Pemilu 2019 di seluruh negara.

Pilihan raya umum di Indonesia merupakan yang ketiga terbesar di dunia selepas India dan Amerika Syarikat.

Pada Pemilu 2019 ini, Jokowi sekali lagi menjadi pilihan parti politiknya untuk bertanding bagi penggal kedua sebagai Presiden bagi negara yang mempunyai penduduk seramai 269 juta orang.

Bekas Gabenor Jakarta itu akan bergandingan dengan tokoh ulamak tersohor, Ma’aruf Amin untuk berhadapan dengan saingan daripada pasangan bekas pegawai tinggi tentera, Prabowo Subianto.

Ini merupakan percubaan kali kedua Prabowo bertanding merebut kerusi Presiden Indonesia. Kali ini beliau akan berganding bahu denga tokoh perniagaan Sanidaga Uno.

Pada kali ini, Pemilu buat pertama kali diadakan serentak dengan pemilihan Presiden untuk tempoh 2019-2024 serta pemilihan 711 anggota Majelis Permusyarawatan Rakyat (MPR), 575 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), 136 Dewan Perwakilan Daerah (DPD) serta anggota dewan legislatif seramai 19,500 orang melibatkan lebih 2,000 daerah dan perbandaran.