Tutup

Berita  | Dunia

Menteri Indonesia harap isu iklan singgung perasaan dapat diselesaikan segera

Menteri Indonesia harap isu iklan singgung perasaan dapat diselesaikan segera
Iklan yang tidak sensitif ini menimbulkan rasa marah dalam kalangan warga Indonesia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, M. Hanif Dhakiri telah mengirimkan pesanan pendek kepada Kementerian Tenaga Kerja Malaysia berkenaan sebuah iklan produk membersih rumah yang menyinggung perasaan masyarakat Indonesia, terutama tenaga kerja pembantu rumah dari republik itu.

M. Hanif telah mengirimkan pesanan teks: "Perkenankan saya untuk mengungkapkan ketidaknyamanan (perasaan kurang senang) kami berkaitan dengan iklan dari The RoboVac Malaysia”, lapor portal berita Tempo.
Pesanan teks yang dihantar malam semalam itu turut dilampirkan bersama foto iklan banting tersebut yang memaparkan frasa "Fire Your Indonesian Maid Now!" (Pecat pembantu rumah Indonesia anda sekarang).

"Iklan tersebut telah mencetuskan kritikan daripada masyarakat di Indonesia. Bagi masyarakat Indonesia, iklan seperti itu menghina pekerja Indonesia pada khususnya dan masyarakat Indonesia pada umumnya," tulis Hanif.
M. Hanif juga memberitahu bahawa pemerintah Indonesia telah menerima keluhan dan protes daripada rakyatnya dan meminta kerajaan Malaysia membantu menangani isu pemasangan iklan tersebut.

Dalam masa yang sama, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno, turut menzahirkan rasa kesal kerana iklan seperti itu digunakan oleh syarikat swasta berkenaan yang beribu pejabat di Petaling Jaya.

Tambahnya, hal tersebut tidak seharusnya berlaku lebih-lebih lagi ketika Presiden Joko Widodo sedang dalam persiapan bagi memulakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 5 hingga 7 Februari ini.

Astro AWANI cuba menghubungi syarikat berkenaan sejak semalam untuk mendapatkan penjelasan mengenai iklan tersebut namun panggilan tidak dijawab.