Berita  |  Dunia

Menteri Indonesia minta Trigana Air uruskan ahli keluarga mangsa nahas TGN267

Menteri Indonesia minta Trigana Air uruskan ahli keluarga mangsa nahas TGN267
JONAN: Pencarian akan dijalankan seawal pagi Isnin dan telah mengerahkan Basarnas, Tentera Nasional Indonesia dan Polis Republik Indonesia untuk ke tempat kejadian secepat mungkin. - Gambar fail EPA
JAKARTA: Menteri Perhubungan Indonesia, Ignasius Jonan meminta pengurusan Trigana Air menangani musibah dan memberi layanan sebaiknya kepada ahli keluarga mangsa nahas pesawat penerbangan itu yang dilaporkan terhempas di Okbape, wilayah Pergunungan Bintang, Papua.

Menurut laporan portal Indonesia, Detik.com, beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya Jl Medan Merdeka Barat, Jakarta.

Beliau turut memaklumkan, pencarian akan dijalankan seawal pagi Isnin dan telah mengerahkan Badan SAR Nasional (Basarnas), Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Republik Indonesia (Polri) untuk ke tempat kejadian secepat mungkin.

"Besok pencarian akan dilakukan sepagi mungkin. Kabasarnas dan Dirjen Perhubungan Darat juga akan ke sana malam ini untuk melakukan proses pemindahan dan makluman kepada keluarga mangsa terlibat," ujar Jonan.
Sementara itu menurut Ketua Pengarah Perhubungan Udara, Prasetyo, pihaknya mendapat maklumat daripada penduduk setempat yang mendakwa menemui pesawat yang sedang dalam perjalanan dari Jayapura ke Oksibil itu terhempas di kawasan pergunungan.

Laporan Reuters berhubung pesawat Trigana Air TGN267

Dalam perkembangan sama, Pasukan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Republik Indonesia (Polri) serta masyarakat Oksibil mula melakukan misi mencari dan menyelamat untuk mencari pesawat ATR 42-300 milik PT Trigana Air Service yang hilang ketika dalam perjalanan dari Bandar Sentani, Jayapura menuju Oksibil di Wilayah Pergunungan Bintang.

Menurut laporan CNN Indonesia, pasukan tersebut digerakkan sekitar jam 6 petang waktu tempatan ke lokasi terakhir pesawat berkenaan.

"Pasukan digerakkan ke lokasi terakhir pesawat dikesan sekitar desa Bape, Daerah Okbape, 24 kilometer dari Oksibil ke arah Barat. Namun pencarian berdasarkan lokasi terakhir pesawat terputus hubungan," kata Left Kol Inf. Arief Hidayat ketika dihubungi CNN Indonesia.

Tambahnya, jumlah pasukan yang digerakkan ialah 47 orang dan pasukan lain dijangka tiba esok pagi.

"Setakat ini belum ada apa-apa laporan dari penduduk tempatan (berkaitan pesawat terbabit). Keadaan cuaca amat mencabar memandangkan suhu sekitar 6 hingga 10 darjah Celcius," ujarnya.