MENTERI Kesihatan Jerman memberi amaran vaksin koronavirus Rusia tidak diuji sepenuhnya, dan boleh menyebabkan persepsi negatif terhadap penghasilan vaksin baharu.

Agensi Reuters melaporkan Jens Spahn sebagai berkata, jika vaksin Rusia itu terbukti tidak selamat, atau tidak berkesan, ia akan memberi kesan kepada usaha pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman Presiden Rusia Vladimir Putin bahawa Republik itu telah memberi kebenaran kepada vaksin koronavirus pertama di dunia, dan akan menghasilkannya dalam kuantiti yang besar.

“Ia boleh jadi berbahaya untuk mula memberi vaksin terlebih awal kepada jutaan penduduk, kerana ia mampu membunuh penerimaan vaksin jika ia tidak berjaya. Jadi saya agak skeptikal tentang apa yang berlaku di Rusia, kata Spahn kepada radio Deutschlandfunk di Jerman.

Vaksin Rusia itu dilaporkan masih belum melepasi ujian klinikal tahap tiga, satu tahap yang dikira kritikal untuk menentukan tahap keselamatan dan keberkesanan vaksin, yang kebiasaannya perlu dilengkapkan sebelum mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Kenyataan Spahn mengulangi kegusaran pakar kesihatan Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci yang menyatakan beliau sangat sangsi bahawa Moscow telah berjaya menghasilkan vaksin untuk diguna pakai.

BACA: COVID-19: Jika vaksin Rusia bermasalah, ia jejas kepercayaan awam - Saintis

BACA: Rusia umum vaksin COVID-19 pertama di dunia, anak Putin antara penerima awal