Seorang lelaki Jepun mengaku membunuh 19 orang kelainan upaya (OKU) di sebuah rumah penjagaan khas di Tokyo pada 2016 namun mengaku tidak bersalah.

Media tempatan melaporkan, Satoshi Uematsu, 29, yang merupakan bekas pekerja di pusat jagaan Tsukui Yamayuri-en di Sagamihara, mendakwa dirinya mengalami masalah mental.

Dalam permulaan perbicaraannnya, Satoshi tidak menafikan bahawa dia telah menikam hingga mati semua mangsanya.

Meskipun dengan pengakuannya itu, pasukan pembelaan tetap dengan pendirian bahawa Satoahi tidak bersalah, dengan mengambil kira keadaan mentalnya. Tambahan pula, ketika kejadian, Satoshi di bawah pengaruh dadah.

“Dia telah menyalahgunakan ganja dan kemudian menderita penyakit mental. Dia dalam situasi tidak mempunyai kapasiti untuk berasa bertanggungjawab, dan kewarasannya dalam keadaan lemah,” ujar pihak pembelaan.

Kesan marijuana juga ditemui dalam sampel darah suspek.

Pada awal pagi 26 Julai 2016, Satoshi memandu sendiri pusat jagaan tersebut, yang terletak kira-kira 50km dari Tokyo, bersenjatakan beberapa bilah pisau.

Dia memecah masuk ke dalam premis itu menerusi tingkap dan mula menyerang penghuni pusat jagaan berkenaan yang sedang tidur, satu demi satu.

Kesemua mangsanya berumur antara 19 hingga 70 tahun. Lagi 25 orang cedera dengan 20 daripadanya cedera parah.

Selepas serangan itu, Satoshi menyerahkan dirinya di balai polis.

Dalam kenyataan kepada media sebelum ini, suspek pernah menyatakan bahawa golongan OKU berbahaya kepada masyarakat dan perlu dibunuh.

Kes tersebut adalah kes pembunuhan beramai-ramai paling dahsyat dalam sejarah moden Jepun dan menggemparkan seluruh rakyat negara itu, yang jarang terjadi jenayah keganasan.

Perkembangan kes itu juga mencetuskan tanda tanya tentang kaedah Jepun merawat golongan OKU.

Satoshi berdepan hukuman bunuh jika sabit kesalahan. Keputusan mahkamah akan diketahui Mac depan.