Barisan selebriti terkenal seperti Eva Longoria, Natalie Portman dan Scarlett Johansson antara yang hadir menyatakan sokongan terhadap perhimpunan 'memperkasakan' wanita dan pergerakan #MeToo pada Sabtu dan Ahad di Los Angeles.

Ketiga-tiga pelakon ini turut berkesempatan menyampaikan ucapan yang turut diselitkan dengan kisah dan pengalaman peribadi mereka yang menjadi mangsa pencabulan seksual.

Portman tampil menceritakan pengalamannya berlakon dalam filem pertamanya “The Professional” ketika dia masih di usia belasan tahun.

Katanya surat pertama yang diterima dari peminatnya merupakan surat dari seorang lelaki yang menyatakan kisah fantasi seksnya bersama aktres berkenaan.

Pengalaman ngeri itu membuatkan dirinya lebih berjaga-jaga dan cuba untuk tidak menerima tawaran lakonan yang melibatkan adegan bercumbu dan lain-lain yang menjurus ke arah perbuatan pencabulan ke atas dirinya.

Johansson pula tampil dengan menyatakan pada asalnya dia mahu bersama wanita-wanita yang menjadi mangsa serangan dan pencabulan seksual namun dia akhirnya sedar yang dirinya juga merupakan salah seorang mangsa.

Katanya ketika berusia 19 tahun, dia mula mengenali ramai lelaki yang cuba mengambil kesempatan ke atasnya dengan tiket dia masih muda tidak berdaya untuk melawan atau mengatakan tidak.

Pelakon Desperate Housewives, Eva Longoria juga bersuara menuntut agar kesamarataan dan keadilan terus diperjuangkan untuk kaum wanita.

Ribuan peserta mengambil bahagian pada perhimpunan di Las Vegas dan di seluruh dunia bagi memperjuangkan hak dan keadilan bagi kaum wanita.