Tutup

Berita  | Dunia

MH17 ditembak jatuh peluru berpandu tentera Rusia - Pasukan penyiasat

MH17 ditembak jatuh peluru berpandu tentera Rusia - Pasukan penyiasat
Penyiasat merayu orang ramai untuk membantu mengenal pasti krew yang mengendalikan peluru berpandu dan menentukan dari mana arahan itu datang.
BUNNIK: Sistem peluru berpandu antipesawat 53 Angkatan Bersenjata Rusia digunakan untuk menembak jatuh penerbangan Malaysia Airlines MH17 di timur Ukraine pada tahun 2014, kata pasukan penyiasat kes itu pada Khamis.

Pesawat dengan 298 penumpang di mana dua pertiga daripadanya ialah warga Belanda ditembak jatuh peluru berpandu buatan Rusia pada 17 Julai 2014 di ruang udara wilayah yang dikawal puak pemisah pro-Rusia.

"Sistem peluru berpandu yang digunakan adalah daripada tentera Rusia, Briged ke-53.

"Kita tahu apa yang digunakan, tetapi orang yang bertanggungjawab terhadap BUK ini, kita tidak dapat pastikan," kata Ketua Pendakwa Belanda, Fred Westerbeke kepada Reuters.
Penyiasat merayu kepada orang ramai untuk tampil dan membantu mengenal pasti kru yang mengendalikan peluru berpandu dan menentukan dari mana arahan itu datang.

"Rusia tidak membantu kami memberikan maklumat, walaupun sistem BUK itu daripada pasukan tentera mereka," kata Westerbeke.
Sementara itu, kementerian pertahanan Rusia dalam reaksi balas menafikan pihaknya terlibat dalam insiden yang meragut nyawa kesemua 298 penumpang dan kru itu, lapor agensi berita Interfax.

Pasukan Penyiasatan yang terdiri daripada Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine kini sedang mengumpul bukti untuk membuat pendakwaan.

Lembaga Keselamatan Belanda menyimpulkan dalam laporan pada Oktober 2015 bahawa pesawat Boeing 777 itu telah ditembak oleh peluru berpandu BUK buatan Rusia.