Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss memaklumkan penemuan serpihan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 adalah konsisten dengan kawasan pencarian sebelum ini.

"Kami yakin pencarian dilakukan di kawasan yang betul dan sekiranya fakta boleh mengesahkan serpihan ditemui di Pulau Reunion adalah milik pesawat tersebut, ia akan mengukuhkan hakikat kami mencari di kawasan yang betul selama ini,"

"Hakikat serpihan itu ditemui di utara Pulau Reunion adalah konsisten dengan tindakan kami di kawasan pencarian," jelasnya.

Kenyataan Truss dibuat dalam satu sidang media khas di Sydney, berhubung perkembangan terkini kehilangan pesawat MH370.

Pengesahan mengenai kesahihan serpihan pesawat MH370 hanya akan diketahui dalam tempoh 24 jam.

Pasukan pencarian Australia pada Jumaat berkata mereka ‘berkeyakinan tinggi’ sisa pesawat yang dijumpai di Pulau Reunion, berhampiran Madagascar pada Khamis adalah dari pesawat MH370 dan proses identifikasi akan diperolehi dalam masa 24 jam.

“Kami berkeyakinan tinggi bahawa sisa yang ditemui adalah dari pesawat MH370,” kata Ketua Komisioner Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, Martin Dolan.