Syarikat pembuat pesawat, Boeing sedia bekerjasama dalam siasatan berhubung penemuan serpihan sayap pesawat yang berkemungkinan besar merupakan pesawat Malaysia Airline (MAS) MH370.

Boeing dilaporkan akan menghantar satu pasukan teknikal ke Perancis setelah terdapat permintaan daripada pasukan penyiasat untuk mengesahkan serpihan yang ditemui di Pulau Reunion pada Khamis lalu.

"Atas permintaan pihak berkuasa penerbangan awam, Boeing akan menghantar satu pasukan teknikal untuk membantu dalam menganalisis bahagian yang dijumpai di Pulau Reunion," ulas jurucakap Boeing Commercial Airplanes kepada Astro AWANI ketika diminta mengesahkan tentang pasukan itu.

Sebelum ini, Boeing berkata akan memberikan komitmennya dalam penyiasatan MH370 dan akan terus berkongsi kepakaran teknikal dan analisa mereka untuk keperluan penyiasatan dan pencarian MH370.

Serpihan bahagian sayap pesawat yang ditemui di Pulau Reunion tiba di Perancis awal pagi Sabtu untuk tujuan penyiasatan.

Sumber memaklumkan, serpihan sepanjang dua meter itu berlepas dari pulau tersebut pada jam 9.15 malam waktu tempatan.

MH370: Serpihan pesawat tiba di Paris awal pagi Sabtu

GALERI FOTO: Adakah ini serpihan pesawat MH370?

Serpihan pesawat atau flaperon dua meter panjang yang terdampar di Pulau Reunion telah menimbulkan pelbagai spekulasi bahawa ia mungkin sebahagian daripada pesawat MH370.

Namun perbandingan perlu dilakukan untuk memastikan sama ada flaperon yang ditemui di Pulau Reunion itu adalah milik MH370.

Terdahulu mengikut laporan agensi berita AFP, serpihan pesawat yang ditemui adalah milik pesawat Boeing 777.

Ketua Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, Martin Dolan percaya serpihan itu adalah milik MH370.

Hanya satu pesawat Boeing 777 yang dipercayai hilang di Lautan Hindi iaitu MH370.

Pesawat milik MAS ini hilang kira-kira satu jam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing.

Pesawat itu membawa 239 penumpang termasuk anak kapal.