Pihak berkuasa Australia yang bertindak mencari bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 perlu segera menyiasat semula dua kawasan pedalaman Lautan Hindi di mana imej sonar telah menunjukkan objek yang berkemungkinan adalah serpihan pesawat itu, kata pakar carian laut pada Selasa.

Carian laut dalam yang diketuai Australia itu merupakan yang paling mahal dalam sejarah penerbangan.

Namun setakat ini, tiada kesan pesawat MH370 yang dilaporkan hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada Mac 2014 lalu.

Bagaimanapun, firma Amerika Syarikat Williamson & Associates berkata imej di selatan Lautan Hindi yang dikeluarkan oleh Biro Keselamatan dan Pengangkutan Australia (ATSB) bulan ini melahirkan persamaan yang ketara dengan serpihan pesawat Air France 447 tenggelam di dasar Lautan Atlantik apabila ia terhempas pada tahun 2009.

ATSB mendedahkan imej-imej dua kawasan berkenaan sebagai sebahagian daripada kemas kini dan imbasan semula telah dilakukan di bahagian yang ditandakan dan keputusannya tidak berkaitan dengan MH370.

Pakar yang terlibat dalam pencarian laut dalam berkata pencarian pesawat mungkin sedikit sukar kerana syarikat Belanda Fugro NV telah menggunakan teknologi yang tidak sesuai dan kakitangan yang tidak berpengalaman.

Williamson and Associates dalam satu kertas penyelidikan yang diperolehi Reuters percaya sasaran (imej sonar) mempunyai ciri-ciri klasik serpihan berimpak tinggi serupa dengan serpihan yang satu lagi.

"Kami percaya bahawa mana-mana target dengan ciri-ciri ini perlu disiasat dengan keutamaan yang tinggi," katanya.

ATSB dalam jawapan bertulis kepada Reuters berkata ahli geofizik, pakar data sonar dan pasukan jaminan kualiti berpuas hati bahawa struktur dalam rekod sonar adalah "selaras dengan pembentukan geologi sekitar".

"Berdasarkan analisis semua data, tidak ada tanda-tanda bahawa target mempunyai ciri-ciri serpihan pesawat," kata ATSB.

Bagaimanapun, Fugro tidak memberikan sebarang komen buat masa ini.