Seminggu sekali, seorang petani di China, Li Eryou akan cuba menghubungi telefon anaknya yang merupakan salah seorang 239 mangsa pesawat Malaysia Airlines MH370, walaupun tidak berjawab.

"Saya tidak peduli apa pun orang kata, saya akan tetap telefon dia walaupun untuk tinggalkan beberapa patah perkataan dalam sistem pesanan ringkas," kata petani berusia 60 tahun itu.

Berasal dari Handan, wilayah utara Hebei, Li Eryou menyifatkan panggilan yang dibuatnya setiap Sabtu itu merupakan satu perkara wajib yang akan dilakukannya setiap minggu.

Anaknya, Li Yanlin, ketika itu berusia 30 tahun, antara yang menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing sebelum ia dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014, bersama 153 lagi warga China.

"Anak saya adalah orang pertama di kampung kami yang dapat menaiki kapal terbang untuk pergi ke luar negara," katanya ketika ditemu bual Reuters, sambil menyelak album gambar anaknya.

Gambar-gambar terakhir anaknya yang bekerja di Malaysia dengan syarikat telekom Cina, ZTE, dimuat turun dari media sosial, menunjukkan saat-saat ketika dia sedang bercuti.

BACA: MH370: 5 tahun kehilangan, tetap dikenang

Sementara itu, isterinya, Liu Shuangfeng berkata dia sering menangis sehingga tertidur dan telah didiagnosis mengalami kemurungan yang teruk.

Selepas kehilangan anaknya, Li Eryou meninggalkan kampung dan turut mengabaikan tanamannya kerana perlu berulang alik ke Beijing bagi mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa Malaysia dan Cina.

Ratusan tiket kereta api dan resit dikumpulnya bagi memberi inspirasi dalam usaha mencari anaknya itu.

"Walaupun telah lima tahun berlalu, saya tidak akan menyerah dan tidak akan berputus asa,

“Saya akan terus mencari anak saya,” katanya.

BACA: Genap lima tahun, MH370 kekal misteri yang belum terjawab

Usaha mencari pesawat MH370 sehingga kini masih lagi tidak berjaya menemui apa-apa petunjuk besar.

Pada Januari 2017, Australia, China dan Malaysia mengakhiri carian dasar laut di selatan Lautan Hindi selepas dua tahun, yang mana ia menelan belanja AS$141 juta selepas usaha itu tidak menemui sebarang jejak pesawat.

Pencarian kedua dilakukan selama tiga bulan diketuai oleh firma penerokaan Amerika Syarikat Ocean Infinity, juga berakhir pada Mei tahun lalu.