MISI menyelamat dan membawa keluar kesemua 12 remaja dan jurulatih mereka dari dalam gua Tham Luang, Chiang Rai, Thailand hampir berakhir dengan tragedi.

Ia kerana pam air yang membantu menyedut keluar air dari gua tersebut tidak berfungsi pada saat akhir hingga membuatkan air kembali memenuhi kawasan gua selepas kumpulan remaja terakhir diselamatkan.

Pasukan penyelam mendedahkan mereka terdengar bunyi jeritan kuat dari dalam gua dan kelihatan beberapa penyelamat berpusu-pusu keluar menyelamatkan diri selepas paras air meningkat.

Ketika kejadian, seorang penyelam dan dua orang pasukan penyelamat Australia dalam proses akhir selepas kumpulan mangsa terakhir berjaya dibawa keluar.

Namun kesemua 100 penyelamat berjaya menyelamatkan diri dalam masa satu jam bersama pasukan SEAL dari Tentera Laut Thai dan doktor perubatan yang menjaga kebajikan kesemua mangsa dari dalam gua tersebut.


Pasukan SEAL Tentera Laut Thai telah mula bersama kesemua 13 mangsa sejak mereka mula ditemui pada 2 Julai lepas.

Operasi menyelamat yang bermula pada Ahad itu berjaya selepas perancangan dan persiapan rapi dilakukan untuk menjayakan misi tersebut.

Empat mangsa berjaya dibawa keluar pada Ahad, empat lagi pada Isnin dan manakala selebihnya dibawa keluar semalam (Rabu).


Kesemua mereka kini sedang menerima rawatan di hospital dan pasukan perubatan mengesahkan ada dalam kalangan mangsa menghidapi pneumonia dan hipotermia namun secara keseluruhan berada dalam keadaan sihat.