Kesemua 71 mayat penumpang nahas kapal terbang di Colombia telah ditemui.

Kotak hitam pesawat, yang membawa sebuah pasukan bola sepak dari Brazil, juga berjaya ditemui. Punca nahas masih dalam siasatan.

Setakat ini, hanya enam daripada 77 penumpang dilaporkan selamat.

Sebelum ini dilaporkan 81 orang sepatutnya berada dalam pesawat berkenaan dengan lima orang dilaporkan terkorban. Namun, menurut rekod pihak penerbangan, terdapat empat penumpang yang tidak menaiki pesawat berkenaan.

Unit Pengurusan Risiko dan Bencana Colombia menyatakan bahawa operasi mencari dan menyelamat sudah ditamatkan.

Sementara itu, presiden Brazil Michel Temer mengumumkan tiga hari berkabung di negara tersebut.

Istana Planalto di ibu negara Brasilia turut dinyalakan warna hijau sebagai penghormatan kepada kelab bola sepak Chapecoense. Hampir semua pemain pasukan terkorban dalam nahas itu.

Chapecoense dalam perjalanan dari Santa Cruz, Bolivia ke Medellin, Colombia untuk bertanding dalam pusingan akhir Copa Sudamericana, kejohanan bola sepak Amerika Selatan.

Kapal terbang dinaiki terhempas pada pukul 10 malam, Isnin - 18 batu dari destinasinya iaitu lapangan terbang Medellin.

Chapecoense merupakan kelab berasal dari bandar Chapeco. Pasukan tersebut telah bermain dalam liga bawahan selama bertahun-tahun sebelum mula lebih dikenali pada 2014.

Mereka dalam perjalanan ke Colombia untuk beraksi dalam perlawanan yang dikatakan paling penting unuk kelab tersebut.

Ramai penduduk bandar Chapeco pula dilihat memakai jersi pasukan Chapecoense manakala rumah serta kereta pula dikibarkan bendera pasukan dengan riben hitam.

Ahli lembaga pengarah kelab Chapecoense berkata upacara menghormati pemain-pemain terkorban akan diadakan di stadium pasukan, Arena Conda sebelum upacara pengkebumian.