Lembaga Siasatan Kemalangan Udara Iran (AAIB) meminta Agensi Kemalangan Udara Perancis (BEA) untuk menganalisis dan membaca kotak hitam daripada pesawat Ukraine yang ditembak jatuh.

Perkara itu dimaklumkan jurucakap Iran kepada Agensi Penerbangan PBB dalam mesyuarat pada Rabu.

Jurucakap, Farhad Parvaresh berkata AAIB meminta agar kotak hitam itu dibawa ke BEA di Perancis untuk dibaca di hadapan perwakilan negara terlibat dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) jika BEA bersetuju.

Penerbangan Ukraine International Airlines ditembak jatuh pada 8 Januari oleh peluru berpandu darat ke udara Iran dan mengorbankan 176 nyawa di tengah peningkatan ketegangan antara Tehran dan Amerika Syarikat (AS).

Nasib kotak hitam pesawat itu menjadi subjek kebangkitan antarabangsa di tengah krisis kesihatan COVID-19 yang menurut Iran turut menyumbang kepada kelewatan siasatan oleh Lembaga Siasatan Kemalangan Udara Iran.

BEA setakat ini belum menerima permintaan itu secara rasmi dan akan terus berbincang dengan Iran, Kanada dan Ukraine mengenai penglibatannya.

Iran menuduh Amerika Syarikat (AS) enggan bekerjasama dengan menolak untuk menyediakan perisian untuk menguraikan alat perakam kotak hitam sementara Kanada dan Ukraine menuduh Tehran menganggu siasatan.