Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat (AS) meneruskan kegemilangan penerbangan angkasa setelah hampir satu dekad tertangguh dengan pelancaran bersejarah roket Falcon 9 pada petang Sabtu.

Pelancaran dengan kerjasama syarikat roket swasta milik usahawan bilionair Elon Musk, SpaceX itu menyaksikan dua angkasawan warga AS diterbangkan ke orbit dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida.

Falcon 9 dilancarkan pada jam 3.22 petang waktu tempatan itu membawa angkasawan Doug Hurley dan Bob Behnken di dalam kapsul Crew Dragon dalam perjalanan 19 jam ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Crew Dragon terpisah dari pelancar roket tahap dua pada jam 3.35 petang sebelum seminit kemudian memasuki orbit.

Presiden AS Donald Trump yang turut berada di lokasi di Cape Canaveral berkata: “Luar biasa, kekuatannya, teknologinya. Pemandangan yang indah untuk dilihat.”

Terdahulu, percubaan pelancaran pertama misi sepatutnya dijadualkan pada Rabu, namun dibatalkan kurang 17 minit sebelum berlepas disebabkan cuaca buruk sebelum ditunda ke hari ini.

Pentadbir NASA, Jim Bridenstine berkata meneruskan semula misi menghantar angkasawan AS menggunakan roket buatan negara Uncle Sam itu merupakan keutamaan agensi itu.

“Saya menarik nafas lega, tetapi saya tidak akan meraikannya sehingga Bob dan Doug pulang dengan selamat,” jelasnya.

Bagi Elon Musk, pelancaran itu merupakan satu kejayaan baharu untuk roket yang boleh digunakan semula yang dipelopori syarikatnya bagi menjadikan penerbangan angkasa lebih murah dan kerap.

Ini juga menandakan kali pertama kenderaan ruang angkasa yang dikembangkan secara komersial yang dimiliki dan dikendalikan oleh entiti swasta dan bukannya NASA yang membawa warga AS ke orbit.

Kali terakhir NASA melancarkan angkasawan ke angkasa dengan roket baharu adalah pada 40 tahun lalu ketika permulaan program ulang-alik angkasa.

Musk merupakan seorang usahawan teknologi tinggi kelahiran Afrika Selatan yang mencipta kekayaan di Silicon Valley dan juga ketua eksekutif syarikat kereta elektrik dan pengeluar bateri Tesla Incorporation.

Hurley, 53, dan Behnken, 49, dijangka berada di Stesen Angkasa Lepas selama beberapa minggu bagi memenuhi kekurangan kru di makmal stesen itu.

Dalam perkembangan sama, Syarikat Boeing Co, juga sedang menghasilkan sistem pelancarannya sendiri dalam persaingan dengan SpaceX dan berharap dapat menerbangkan kenderaan angkasanya Starliner CST-100 dengan angkasawan untuk pertama kalinya tahun hadapan.

NASA telah menyalurkan dana hampir AS$8 bilion kepada SpaceX dan Boeing dalam projek pembangunan roket mereka.

Trump dalam pada itu berkata pelancaran itu menjadi titik tolak kepada pelancaran roket ke planet Marikh.