Negara ASEAN perlu bersatu menangani isu Spratly dan sebarang insiden tercetus boleh menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal lebih-lebih lagi penglibatan kuasa besar.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang merujuk kepada aktiviti China di pulau tersebut berkata sebarang kejadian kecil sekalipun jika tidak dibendung boleh menyebabkan situasi tidak terkawal.

"Selaku pengerusi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) saya berharap negara terbabit dapat mengawal aktiviti mereka di Spratly.

"Penglibatan kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat menjadikan isu ini lebih sensitif dan sebarang insiden boleh menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal," katanya pada sidang media sempena majlis 'Mengenang Jasa Wira-Wira Pertempuran Bakara Market, Somalia' di Kem Lapangan Terbang di sini, pada Rabu.

Katanya pihak berkenaan harus menahan dari melakukan perkara yang boleh menyebabkan ketegangan.

"Saya mahu isu Spratly membabitkan ASEAN diselesaikan di peringkat ASEAN sendiri kerana kita (ASEAN) tidak mampu mempengaruhi tindak-tanduk kuasa besar. Saya berharap situasi tidak menjadi lebih kompleks," tambahnya.

Hishammuddin berharap mesyuarat ADMM membabitkan 10 negara ASEAN di Kuala Lumpur minggu depan dapat merumuskan satu keputusan positif sebelum mesyuarat ASEAN+8 membabitkan menteri-menteri pertahanan antaranya China, Amerika, Rusia dan Jepun bermula.

Dalam perkembangan lain beliau berkata kerajaan sentiasa melaksanakan yang terbaik dalam menjaga kebajikan anggota tentera termasuk keluarga mereka dan veteran tentera.

"Kebajikan anggota tentera sentiasa menjadi agenda penting Kementerian Pertahanan walaupun dalam suasana ekonomi semasa yang sukar.

"Tiada negara di dunia ini berjaya menyelesaikan semua masalah veteran tentera namun kami buat sekadar yang mampu," katanya.

Mengulas mengenai majlis itu, beliau berkata walaupun ia berlaku 22 tahun lepas, peristiwa itu menjadi sandaran kuat dalam membina semangat generasi muda selain agar jasa pahlawan tidak dilupakan.

Hishammuddin memuji inisiatif Berita Harian menganjurkan majlis itu serta menyiarkan kisah wira negara dalam usaha mengangkat martabat para pejuang negara.

Peristiwa itu berlaku di tengah kota Mogadishu pada 3 dan 4 Okt 1993 lebih dikenali sebagai 'Black Hawk Down' menyaksikan pasukan 19 Rejimen Askar Melayu (RAMD) Mekanize di bawah MATBATT 1-UNUSOM II bertempur hampir enam jam dalam usaha menyelamatkan 75 anggota Renjer Amerika yang dikepung puak militia Farah Aideed berhampiran Bakara Market.

Seorang anggota RAMD, Koperal Mat Aznan Awang terkorban dan 10 yang lain cedera serta empat kereta APC milik RAMD musnah manakala 18 Renjer Amerika terbunuh dan 77 lagi cedera.

Seramai 93 daripada 11 pegawai dan 103 anggota MALBATT 1 dibawa menghadiri majlis itu.

Persembahan pantomin peristiwa itu turut diadakan di padang kawat 6 Briged sebelum mereka diraikan dalam jamuan makan tengah hari.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Panglima Tentera Darat Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi turut hadir.