Israel diingatkan sekali lagi supaya tidak mengambil sebarang langkah yang "tidak boleh diterima" dalam usaha rejim itu untuk mengubah status quo di Baitulmaqdis, jika tidak dunia Islam bersedia bertindak balas, lapor agensi berita China Xinhua.

Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sepakat menyuarakan ingatan itu pada mesyuarat tergempar di Istanbul semalam.

Amaran merujuk kepada percubaan terancang rejim Israel baru-baru ini, untuk mengubah status quo Baitulmaqdis termasuk langkah kawalan keselamatan dengan pemasangan alat pengesan logam dan kamera pengawasan.

Israel mengenakan sekatan ke atas Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis selepas tiga rakyat Palestin menembak mati dua pegawai polis Israel pada 14 Julai sekaligus mencetuskan pertempuran berdarah.

Sekurang-kurangnya 10 terbunuh dan lebih daripada 500 yang lain cedera.

Pada Jumaat lepas Israel membenarkan rakyat Palestin dari semua peringkat umur memasuki semula Masjid Al-Aqsa.

Pada masa sama, Menteri Luar Palestin Riad Al-Malki menyeru lebih banyak kerjasama dalam kalangan masyarakat antarabangsa dan negara Islam memandangkan pendudukan Israel sudah mencecah hampir 50 tahun di Baitulmaqdis.

"Israel tidak akan menerima kekalahan kerana itu kita perlu menunjukkan kepada Israel bahawa kerjasama kita sangat dalam hingga ke akar umbi dan berkekalan," kata Malki pada sidang akhbar bersama rakan sejawatannya, Mevlut Cavusoglu dan Setiausaha Agung OIC, Yousef Ahmed Al-Othaimeen.

OIC terdiri daripada gabungan 57 negara Islam seluruh dunia yang kebanyakannya dari negara Timur Tengah dan utara Afrika, Caucasus, Asia Tenggara, Asia Tengah, Balkan dan Asia Selatan.

Ia merupakan pertubuhan kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

-- BERNAMA