Tutup

Negara kuasa veto dalam struktur antarabangsa sudah tidak relevan

Negara kuasa veto dalam struktur antarabangsa sudah tidak relevan
Ketiadaan beberapa negara kuasa besar di dalam sesebuah pertubuhan antarabangsa akan menjadikan pertubuhan tersebut tidak mempunyai kuasa dan peranan yang signifikan - Foto Astro AWANI
PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu atau PBB adalah sebuah organisasi antarabangsa yang mempunyai keanggotaan terbesar di dunia.

Sehingga ke saat ini, PBB memiliki sejumlah 193 keahlian negara-negara angota. PBB adalah sebuah organisasi antarabangsa yang berperanan besar dalam pelbagai isu yang mengitari bidang politik, ekonomi, sosial, keselamatan, pendidikan dan hak asasi antarabangsa.
Peranan yang dimainkan oleh PBB secara idealistiknya begitu signifikan dalam menjadikan struktur antarabangsa lebih harmoni walaupun pertubuhan ini bukan bersifat badan penguatkuasaan.

Sebelum kewujudan PBB pada 1946, terdapat sebuah organisasi antarabangsa yang fungsinya hampir menyamai fungsi PBB iaitu Liga Negara-Negara atau League of Nations yang ditubuhkan pada dekad 1930-an, namun menemui kegagalan apabila negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat pada ketika itu mengamalkan dasar isolasi dan tidak menyertai pertubuhan tersebut.
Ketiadaan beberapa negara kuasa besar di dalam sesebuah pertubuhan antarabangsa akan menjadikan pertubuhan tersebut tidak mempunyai kuasa dan peranan yang signifikan.

Hal ini kerana, sesebuah pertubuhan hanya akan mempunyai peranan yang jelas sekiranya mendapat kerjasama dan sokongan negara-negara ahli, masakan sesebuah pertubuhan tersebut mampu mengenakan apa sahaja tindakan kepada negara yang bukan negara ahli, apatah lagi negara yang tidak menyertai sesebuah pertubuhan itu diklasifikasikan sebagai negara kuasa besar antarabangsa.

Negara kuasa besar mempunyai peranan yang cukup penting di dalam sesebuah pertubuhan antarabangsa.

Ini kerana, pengaruh mereka di dalam bidang ekonomi, politik dan ketenteraan mampu menarik sokongan negara-negara kuasa pertengahan dan kecil yang lain untuk bersama-sama mereka sama ada sebagai negara sekutu mahupun negara proksi.

Sekiranya sesebuah organisasi antarabangsa tersebut tidak disertai oleh negara kuasa besar, maka organisasi antarabangsa tersebut akan kehilangan pengaruh dalam menjalankan peranannya.

Harus difahami bahawa organisasi antarabangsa mampu berfungsi dengan baik sekiranya mendapat sokongan dan dana dari negara anggota, dan di dalam konteks politik antarabangsa, negara-negara kuasa besar lazimnya akan memayungi negara-negara sekutu dan proksi dengan pelbagai bantuan dalam berbagai bentuk.

Masakan negara-negara kecil akan menderhakai abang besar mereka dengan mengenakan tindakan-tindakan melalui organisasi antarabangsa yang tidak disertai oleh negara kuasa besar tersebut?

Undang-undang antarabangsa bukan sebuah undang-undang yang mengikat, apatah lagi jika sesebuah negara tersebut tidak menganggotai pertubuhan tersebut.

Undang-undang antarabangsa lebih bersifat “horizontal” kerana ketiadaan sebuah kerajaan antarabangsa yang mampu menjalankan tugas sebagai penguatkuasa undang-undang.

Sekalipun sesebuah negara itu menjadi salah sebuah negara anggota, namun negara-negara lain di dalam pertubuhan tersebut hanya mampu membidas dan mengkritik tindak tanduk negara negatif negara tersebut sahaja.

Sekiranya negara tersebut terus ditekan, maka mereka mempunyai pilihan untuk keluar dari menganggotai pertubuhan tersebut.

Walau bagaimanapun, tidak seharusnya mana-mana negara sama ada negara kuasa besar mahupun negara kuasa pertengahan diberikan sebarang keistimewaan di dalam sesebuah organisasi antarabangsa atau organisasi serantau, kerana setiap negara yang menganggotai mana-mana organisasi antarabangsa mempunyai taraf dan status yang sama.

ASEAN (Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara), Liga Arab, OIC (Oragnisasi Negara-negara Islam), EU (Kesatuan Eropah), UNASUR (Pertubuhan Negara-negara Amerika Selatan) dan AU (Persatuan Negara-negara Afrika) adalah antara organisasi serantau di dunia yang tidak memberi sebarang keistimewaan terhadap sesebuah negara melebihi negara yang lain.

Hal ini adalah bagi memupuk kebersamaan dalam kalangan negara anggota.

Ironinya, ia tidak berlaku terhadap PBB, sebuah organisasi antarabangsa yang menghimpunkan hampir keseluruhan negara di dunia kerana wujudnya negara-negara berstatus veto di dalam Majlis Keselamatan PBB.

Kewujudan negara-negara kuasa veto di dalam Majlis Keselamatan PBB telah lama dipertikai.

Bukan sehari dua malahan ia telah dijadikan polemik dalam kalangan negara anggota yang lain semenjak puluhan tahun yang lalu.

Negara-negara kuasa veto ini ialah anggota tetap Majlis Keselamatan yang dianggotai oleh 5 buah negara yang telah memenangi Perang Dunia kedua iaitu Amerika Syarikat, Rusia, Britain, Perancis dan China.

Selain itu, Majlis Keselamatan PBB juga dianggotai oleh 15 buah negara yang lain sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan yang akan dipilih setiap 2 tahun sekali.

Setiap negara kuasa veto yang menganggotai Majlis Keselamatan ini mempunyai kuasa pembatal terhadap sebarang resolusi PBB yang telah diratifikasikan oleh negara-negara lain.

Oleh kerana itu, sekiranya kita perhalusi, begitu banyak konflik yang tercetus di peringkat antarabangsa, salah satunya seperti mana konflik Palestin-Israel tidak pernah kunjung selesai.

Sebagai contoh, pencerobohan Israel terhadap Palestin adalah suatu tindakan tidak berperikemanusiaan, namun tidak pernah diberikan sebarang tindakan kerana Israel adalah sekutu rapat Amerika Syarikat, salah sebuah negara kuasa veto di dalam Majlis Keselamatan.

Ketidakadilan sistem kuasa veto ini memungkinkan keamanan dunia hanya suatu ilusi dan kestabilan dunia hanya sebuah idea utopia semata-mata.

Hal ini kerana, sudah pasti sekiranya terdapat sebarang resolusi yang memberikan kebaikan kepada sistem antarabangsa, namun tidak memberikan sebarang manfaat kepada kepentingan nasional negara-negara kuasa veto dan negara sekutu mereka, maka negara-negara kuasa veto ini akan menggunakan kuasa pembatal bagi menghalang resolusi tersebut dilaksanakan.

Sampai bila perkara ini harus berlanjutan?

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membidas sistem ini ketika beliau berucap dalam Perhimpunan Agung PBB yang lalu, dengan menyatakan bahawa PBB telah kehilangan taringnya apabila pertubuhan tersebut gagal melindungi sebahagian masyarakat dunia yang diseksa dan ditindas oleh kekejaman politik dan ketenteraan.

Ujar Perdana Menteri, mungkin dalam bidang kesihatan dan sosial, PBB telah memainkan peranan yang baik dengan pelbagai bantuan telah disalurkan, namun ia seakan tidak memberi kesan apabila perkara terpenting yang mengakibatkan kesukaran dan penderitaan tidak disekat.

Apa guna dengan segala bantuan diberikan oleh PBB sekiranya racun utama ketidakstabilan salah satunya adalah berpunca daripada penjualan senjata dari negara maju kepada masyarakat dunia tidak dihentikan?

Penjualan senjata secara besar-besaran sama ada kepada negara dunia ketiga mahupun kepada puak pemisah di sesebuah negara telah mengakibatkan perang saudara yang kemudiannya menjadi rantaian krisis kemanusiaan yang tidak berpenghujung.

Negara kuasa veto seperti Amerika Syarikat, Rusia, China, Britain dan Perancis bersama beberapa buah negara lain adalah penjual utama produk senjata di dunia.

Maka sememangnya peperangan dan konflik adalah “lubuk” bagi mereka mencipta kekayaan melalui hasil penjualan senjata.

Adakah negara-negara ini yang diharapkan untuk menjaga keamanan dan kestabilan antarabangsa sedangkan mereka ini ibarat serigala yang sentiasa ingin melapah daging mangsanya?

Sebagai sebuah negara yang dianggap kuasa pertengahan di dalam politik antarabangsa, Malaysia seharusnya kekal konsisten menyuarakan ketidakadilan yang berlaku di dalam struktur antarabangsa.

Namun, sekadar menyuarakan semata-mata tidak akan memberikan sebarang impak lebih-lebih lagi terhadap negara kuasa besar antarabangsa.

Malaysia perlu menggunakan kepakarannya semenjak zaman berzaman dengan kemahiran diplomasi tahap tinggi yang dikenali sebagai “hedging” sebagai usaha ampuh mendesak dunia menghapuskan sebarang keistimewaan terhadap sesebuah negara melalui Majlis Keselamatan PBB.

Kemahiran diplomasi Malaysia dalam mendapatkan sokongan negara-negara di dunia ditagih oleh negara-negara dunia ketiga yang lain bagi mendesak pembubaran status kuasa veto di dalam Majlis Keselamatan PBB.

Secara tradisinya, Malaysia dikenali sebagai salah sebuah negara kuasa pertengahan yang memiliki imej dan prestasi cemerlang di peringkat antarabangsa, maka bukan suatu perkara yang mustahil bagi Malaysia untuk mendapat sokongan padu negara-negara lain bagi mendesak dunia membubarkan status kuasa veto di dalam Majlis Keselamatan PBB.

Agak sukar, namun ia bukan suatu perkara yang mustahil bagi melahirkan masa depan dunia yang lebih adil, saksama, aman dan stabil.


* Hisyam Basabah merupakan penulis bebas dan calon Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Etnik, Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.



Tag: Mahathir Mohamad, PBB, EU, Kesatuan Eropah, Hisyam Basabah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Liga Negara-Negara



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.