Seorang warga emas disyaki membunuh cucu perempuannya dengan mencampak kanak-kanak itu dari tingkap ketika ahli keluarga yang lain sedang tidur.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi Sabtu lalu, Jiya Ansari, 2, dihumban keluar dari tingkap dapur pangsapuri enam tingkat yang terletak di timur Malad.

Difahamkan, ahli keluarga mangsa dikejutkan oleh jiran mereka pada awal pagi setelah ternampak mayat kanak-kanak malang itu di lantai pangsapuri dipenuhi kesan darah.

Mereka kemudian bergegas ke hospital berdekatan di mana doktor mengesahkan mangsa telah pun meninggal dunia.

Siasatan pihak forensik di lokasi kejadian mendapati pintu depan dan semua tingkap dapur rumah itu berkunci, lantas menimbulkan rasa curiga tentang bagaimana kanak-kanak malang itu boleh terjatuh.

"Siasatan turut mendapati posisi di mana Jiya jatuh juga seolah dia dicampak keluar," kata jurucakap polis.

Polis percaya terdapat individu di dalam rumah mangsa yang mencampak kanak-kanak itu keluar dari tangkap.

Susulan siasatan terperinci, polis mendapati tindakan kejam itu dilakukan nenek tiri kanak-kanak itu yang tidak suka dengan kehadiran cucunya.

“Tertuduh tidak suka cucu perempuannya dan sentiasa 'terganggu' apabila dia bermain di rumah.

“Dua puluh hari yang lalu, dia juga dikatakan berselisihan faham dengan anak lelaki dan menantunya mengenai masalah itu, malah mengambil keputusan meninggalkan rumah mereka," kata polis.

Wanita itu pulang semula ke kediaman mereka pada Jumaat lalu.

Akan tetapi, kanak-kanak itu difahamkan jatuh sakit dan sering menangis.

Terganggu dengan tangisan kanak-kanak itu, wanita berkenaan mencampak keluar cucunya dari tingkat 6 sebelum mengunci tingkap dan kembali ke bilik tidur seolah tiada apa yang berlaku.

Ketika disoal siasat, wanita itu mengaku mencampak cucunya pada jam 5.30 pagi hari kejadian.

Polis menahan wanita berkenaan pada Isnin atas dakwaan membunuh cucunya.