PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menimbulkan kontroversi apabila meminta Parlimen negara itu untuk memberikannya kekebalan daripada tuduhan rasuah.

Langkah itu dilihat sebagai cubaan menangguhkan perbicaraan selama beberapa bulan.

Pengumuman tersebut pada dasarnya menjadi kempen pilihan raya akan datang mengenai referendum sama ada Netanyahu perlu diberi kekebalan dan kekal dengan jawatannya atau melepas jawatan serta hadapi perbicaraan.

Sementara itu, permintaan tersebut turut menerima kecaman daripada pemimpin pembangkang.

Bercakap di Ramat Gan, pemimpin parti Biru Putih, Benny Gantz berkata Netanyahu cuba menafikan sistem keadilan dan tidak peduli akan masa depan Israel.

Langkah itu dilihat sebagai menangguhkan perbicaraan selepas pilihan raya Mac ini, sekali gus memperoleh majoriti di Parlimen untuk melindunginya daripada menghadapi perbicaraan.

Kerajaan sedia ada ketika ini tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan memberikan beliau kekebalan daripada dibicarakan.

Untuk membahaskan perkara itu, Parlimen perlu melantik jawatankuasa khas bagi mengkaji permintaan tersebut.

Namun, masih belum jelas sama ada ia boleh dilaksanakan.

Dalam perkembangan sama, satu tinjauan pendapat yang diadakan baru-baru ini menunjukkan majoriti rakyat Israel turut menentang usaha itu.